Wanita rancang kejadian samun untuk bayar ah long RM300,000

Noorzainy (tengah) menunjukkan wang tunai yang dirampas dari suspek selepas dipercayai merancang kejadian samun Ahad lalu.
A
A

KEPALA BATAS - Gara-gara berhutang dengan peminjam wang haram atau ah long sebanyak RM300,000, seorang pekerja wanita sebuah pasar raya sanggup menjadi dalang kejadian samun wang syarikat yang dibawanya, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 53 tahun dan bekerja di sebuah pasar raya di sini selama dua tahun itu dipercayai berpakat dengan empat individu lain untuk mewujudkan kejadian samun tersebut.

Menurutnya, dia merancang kejadian itu ketika memasukkan wang jualan syarikat ke dalam bank yang berjumlah RM20,400 bersama rakan sekerja wanita yang juga penolong penyelia pelatih syarikat tersebut.

Wang tunai dan telefon bimbit yang dirampas dari kesemua suspek.
Wang tunai dan telefon bimbit yang dirampas dari kesemua suspek.

"Ahad lalu, kita menerima laporan daripada wanita tersebut kononnya dia bersama rakan wanitanya disamun di Jalan 2, di sini kira-kira jam 8.55 malam. Dia mendakwa, ketika menunggang motosikal bersama rakan wanitanya berusia 25 tahun itu, mereka dihampiri dua lelaki yang juga menunggang motosikal.

"Wanita itu mendakwa dua lelaki terlibat telah menarik beg mengandungi wang berkenaan yang diletakkan di atas riba ketika sedang membonceng motosikal tersebut lalu melarikan diri," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Noorzainy berkata, taktik tersebut terbongkar setelah polis menahan tiga lelaki berusia 19, 23 dan 25 tahun yang terlibat dalam kes samun itu keesokan harinya.

"Hasil siasatan polis mendapati terdapat keraguan terhadap laporan yang dibuat wanita itu walaupun pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di lokasi kejadian menunjukkan memang benar berlakunya kejadian samun.

"Susulan daripada itu, kedua-dua wanita yang kononnya menjadi mangsa turut ditahan pada hari sama (Isnin) dan kesemua mereka mengaku terlibat dalam kejadian itu. Wanita itu mendakwa dia merancang insiden samun itu kerana memerlukan wang untuk membayar faedah hutang ah long yang dibuatnya," katanya.

Noorzainy berkata, siasatan mendapati wang tersebut telah diagih-agihkan sesama mereka sebanyak RM4,000 setiap seorang.

"Hasil siasatan mendapati tiga lelaki yang ditahan itu memaklumkan dua wanita tersebut telah berpakat dan mengupah mereka RM4,000 setiap seorang untuk menyamun wang berkenaan.

"Wanita itu juga mengaku dia buntu untuk mendapatkan wang selepas didesak ah long untuk melunaskan bayaran faedah sebanyak RM4,000 dengan segera," katanya.

Beliau menambah, susulan penahanan kesemua suspek polis merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit yang dipercayai dibeli menggunakan wang berkenaan.

"Kita juga merampas beberapa unit telefon bimbit dan wang tunai dengan nilai rampasan membabitkan RM12,060 manakala baki yang lain telah digunakan untuk membeli telefon bimbit serta membayar hutang kenderaan.

"Wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak itu bersama rakan-rakannya kini direman tujuh hari bermula Selasa lalu untuk siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.