Lebih banyak rumah mampu milik dibina di Terengganu

Zulkifli (lima dari kiri) bergambar bersama lima penerima replika kunci rumah PPRT pada majlis penyerahan di Padang Astaka Kampung Pasir Gajah, Kemaman.
Zulkifli (lima dari kiri) bergambar bersama lima penerima replika kunci rumah PPRT pada majlis penyerahan di Padang Astaka Kampung Pasir Gajah, Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan membina sebanyak 660 unit rumah mampu milik bernilai RM90 juta di Air Putih, Kemaman dan Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun yang dijangka diserahkan kepada penerima awal tahun depan.

Pengerusi Ketengah, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, proses tender projek di Air Putih baharu selesai dilakukan dan ia akan diikuti di AMBS sebelum pembinaan dimulakan dan dijangka siap tahun ini juga.

Menurutnya, ia membabitkan pembinaan 330 unit rumah di setiap lokasi menggunakan kaedah pembinaan sistem binaan berindustri (IBS) atau pasang siap.

"Dua projek pembinaan rumah mampu milik ini dilaksanakan bagi memenuhi permintaan golongan luar bandar dan memenuhi kewajipan dan tanggungjawab Ketengah.

"Insya-ALLAH kita bukan sahaja akan bina rumah mampu milik tetapi selepas ini akan turut bina rumah untuk kakitangan kerajaan dan rumah kos sederhana," katanya.

Zulkifli mengibarkan bendera bersama pelajar dan kanak-kanak sempena pelancaran Program Penghayatan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Wilayah Ketengah.
Zulkifli mengibarkan bendera bersama pelajar dan kanak-kanak sempena pelancaran Program Penghayatan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Wilayah Ketengah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Penghayatan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Wilayah Ketengah 2019 di Padang Astaka Kampung Pasir Gajah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, program perumahan menjadi tumpuan Ketengah kerana mendapat permintaan tinggi golongan luar bandar di Terengganu khususnya penduduk di bawah wilayah Ketengah.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu memenuhi permintaan golongan luar bandar yang mahu memiliki rumah sendiri," katanya.

Ujarnya lagi, jumlah penduduk di wilayah Ketengah ketika ini menjangkau kira-kira 180,000 orang.

Sementara itu, pada majlis berkenaan seramai lima penduduk wilayah Ketengah dari Kampung Pasir Gajah dan Kampung Tok Dor menerima replika kunci rumah bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bina baharu yang telah siap dibina.

Dalam pada itu, Zulkufli memberitahu, program penghayatan bulan kebangsaan itu diadakan bagi menyuntik semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan generasi baharu di wilayah Ketengah.

"Ketengah juga mengedarkan Jalur Gemilang kepada 89 majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) dalam wilayah Ketengah untuk dikibarkan di premis, kawasan tumpuan masyarakat dan kediaman masing-masing," katanya.

Hadir sama Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Ketua Bahagian Bersatu Kemaman, Datuk Seru Wan Marzuki Wan Sembok.