Terengganu taja lebih RM6 juta lahirkan saintis Islam

Ishamudin (dua dari kanan) menyerahkan wang pendahuluan diri (Bidang Saintis Islam) Biasiswa Al-Watiqulbillah Sultan Mizan Zainal Abidin kepada Wan Muhammad Jannahtul Firdaus yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Royal College of Surgeon, Ireland.
Ishamudin (dua dari kanan) menyerahkan wang pendahuluan diri (Bidang Saintis Islam) Biasiswa Al-Watiqulbillah Sultan Mizan Zainal Abidin kepada Wan Muhammad Jannahtul Firdaus yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Royal College of Surgeon, Ireland.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menaja lebih RM6 juta bagi biasiswa penuh kepada enam pelajar terpilih dan berkelayakan dalam usaha melahirkan golongan saintis Islam terulung bertaraf dunia.

Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim berkata, setiap pelajar yang kini melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di United Kingdom (UK) dan Jepun diberikan peruntukan kira-kira RM1 juta seorang.

Menurutnya, antara universiti terlibat ialah Universiti of Manchester, University of Oxford, United Kingdom (UK); Royal College of Surgeon, Ireland; University of Hokkaido, Japan bagi bidang pengkhususan kejuruteraan, kejuruteraan aeroangkasa, kejuruteraan kimia dan perubatan.

“Peruntukan itu adalah anggaran yang diberikan untuk setiap pelajar bagi tempoh empat hingga lima tahun pengajian.

“Bagi pelajar bidang perubatan, tajaan mungkin akan bertambah sehingga RM1.3 juta disebabkan tempoh belajar yang lebih lama (lima tahun) dan keperluan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Pelajar (Bidang Saintis Islam) Biasiswa Al-Watiqulbillah Sultan Mizan Zainal Abidin bagi seorang pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Ireland di sini hari ini.

Penyerahan wang pendahuluan diri berjumlah RM42,689.30 itu diberikan kepada Wan Muhammad Jannahtul Firdaus Wan Ahmad, 20, dari Kampung Rhu Rendang, Marang.

Wan Muhammad Jannahtul Firdaus akan melanjutkan pengajian ke Royal College of Surgeon, Ireland dalam bidang perubatan selama lima tahun bagi sesi pengajian 2019/2020 hingga 2023/2024.

Artikel Berkaitan:

Pelajar cemerlang Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu itu turut ditemani bapa, Wan Ahmad Wan Hassan, 59, dan ibunya, Zabidah Ismail, 58.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai program Saintis Islam Terengganu, Ishamuddin berkata, ia bagi melahirkan golongan hafiz 30 juzuk al-Quran untuk mendalami ilmu Islam termasuk penerokaan bidang aeroangkasa, kejuruteraan dan perubatan bermula peringkat ijazah sarjana muda, sarjana seterusnya doktor falsafah (PhD).

“Saintis Islam yang dilahirkan dalam pelbagai bidang ini akan menjalankan penyelidikan dan pembangunan yang akan dikembangkan berasaskan al-Quran sebagai panduan dan seterusnya membantu perkembangan ketamadunan Islam di Terengganu,” katanya.

Program pencarian Saintis Islam Terengganu telah dijalankan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak 2015 yang dimulakan dengan pengambilan kohort (sesi) pertama dalam bidang aeroangkasa.