Taisho Pharmaceutical lancar ubat antidiabetes

A
A

SYARIKAT farmasi terkemuka di Jepun, Taisho Pharmaceutical melancarkan ubat antidiabetes oral yang dipercayai membantu merawat diabetes mellitus jenis 2, Lusefi.

Ketua Pegawai Operasi Taisho Pharmaceutical Malaysia, Toru Tatezono berkata, usaha pihaknya sejajar dengan persekitaran industri farmaseutikal yang telah berubah mengikut keperluan pasaran.

DARI KIRI Dr Zanariah, Tatezono dan siew Pheng ketika merasmikan pelancaran Lusefi di Kuala Lumpur baru-baru ini.
DARI KIRI Dr Zanariah, Tatezono dan siew Pheng ketika merasmikan pelancaran Lusefi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Misi kami untuk menyumbang kepada kesihatan dan menyediakan pelbagai pilihan produk ubatan untuk tujuan pencegahan dan rawatan.

“Justeru, kami telah meneroka bidang terapeutik yang baharu seperti diabetes. Kami menyedari tentang keperluan pesakit dan mahu menjadi rakan penjagaan kesihatan dalam bidang terapi diabetes,” kata Tatezono pada majlis pelancaran Lusefi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut memeriahkan majlis pelancaran itu Pakar Perunding Endokrinologi di Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein dan Pakar Perunding Endokrinologi di Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Chan Siew Pheng.

Kedua-dua pakar berkenaan dijemput untuk membincangkan peningkatan kehadiran penyakit diabetes jenis 2 di Malaysia selain penyelidikan yang telah dijalankan dalam bidang itu.

Lusefi boleh diberikan kepada pesakit diabetes mellitus jenis 2 berumur 20 tahun ke atas melalui preskripsi doktor.

Dirumus daripada bahan aktif Luseogliflozin hydrate dan disediakan dalam bentuk tablet 2.5 miligram (mg) dan 5mg melalui preskripsi doktor.