Audit khas isu jual tanah DBKL, kata Noraini

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu audit khas berhubung isu penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan dengan bantuan Jabatan Audit Negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, pengauditan khas itu perlu dalam membantu jawatankuasa berkenaan menyiapkan laporan berhubung isu itu sebelum ia dibentangkan ke Parlimen.

Bagaimanapun Noraini berkata setakat ini tiada tarikh ditetapkan untuk laporan berkenaan dibentang di Parlimen.

"Laporan PAC berhubung isu ini hanya akan dibentang apabila jawatankuasa ini berpuas hati dengan setiap keterangan dan penjelasan daripada saksi yang dipanggil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, walaupun isu berkenaan tidak dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara, prosiding itu tetap dimulakan selepas mendapat persetujuan semua ahli jawatankuasa dengan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) yang antara lain, jawatankuasa berkenaan dibenar menyiasat sebarang perkara yang difikirkan patut diperiksa.

Berikutan itu, Noraini berkata prosiding dimulakan pada 4 April lepas dengan memanggil Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, kemudiannya pada 23 April bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull dan Peguam Negara Tommy Thomas melalui wakilnya iaitu Peguam Cara II Datuk Siti Zainab Omar.

Pada Isnin lepas, menurutnya Ahli Majlis Bandar Raya Petaling Jaya yang juga peguam, Derek John Fernandez dipanggil dan hari berikutnya Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Beliau turut sekali lagi menegaskan bahawa prosiding itu tidak mempunyai kaitan dengan perbicaraan kes mahkamah membabitkan bekas Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Artikel Berkaitan:

Malah, Noraini berkata jawatankuasa berkenaan dibantu sepenuhnya wakil Jabatan Peguam Negara, Jabatan Audit Negara dan SPRM dalam setiap prosiding yang dijalankan bagi memastikan maklumat diberikan kepada pihak mereka tidak dianggap subjudis dan mengganggu perbicaraan di mahkamah. - Bernama