X

Kindly register in order to view this article
!

Empat ditahan, dadah bernilai RM5,700 dirampas

Serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin dan pil kuda yang dirampas polis ini dianggarkan bernilai RM1,410.
A
A

DUNGUN - Polis menahan empat lelaki dan merampas sejumlah dadah dianggarkan bernilai RM5,700 dalam dua tangkapan berasingan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dalam tangkapan pertama, dua lelaki berusia 48 dan 31 tahun ditahan di kawasan Rantau Abang di sini oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah yang sedang melakukan rondaan, kira-kira jam 12.10 tengah malam tadi.

Katanya, pihaknya menemui dadah dalam beg yang disandang suspek berumur 48 tahun ketika pemeriksaan badan dilakukan.

"Beg sandang itu mengandungi 12 botol serbuk putih disyaki dadah jenis heroin, satu tiub straw cerah berisi 10 biji pil merah dipercayai dadah jenis methamphetamine dan satu jarum suntikan disyaki peralatan menghisap dadah.

12 botol serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin dan satu straw mengandungi 10 biji pil merah ini dirampas dalam tangkapan yang dilakukan di Rantau Abang, Dungun.
12 botol serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin dan satu straw mengandungi 10 biji pil merah ini dirampas dalam tangkapan yang dilakukan di Rantau Abang, Dungun.

"Anggaran harga pasaran dadah yang kita temui itu berjumlah RM4,290. Turut disita, motosikal jenis Honda Wave dianggarkan bernilai RM7,000 yang dinaiki kedua-dua suspek," katanya.

Katanya, suspek berusia 48 tahun yang berasal dari Merchang, Marang mengaku mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki di Kampung Jambu Bongkok dalam bentuk satu papan dengan harga RM3,500.

Tambahnya, saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan mendapati suspek berusia 48 tahun memiliki 10 rekod lampau berkait dadah dan jenayah sementara rakannya memiliki satu rekod lampau berkait dadah.

Sementara itu, Baharudin berkata, dua lagi lelaki ditahan dalam serbuan di kawasan semak tepi jalan Jalan Dungun-Kuala Terengganu di sini kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Katanya, dua lelaki ditahan berusia 38 dan 34 tahun serta turut dijumpai berhampiran mereka satu beg hitam mengandungi dadah jenis heroin dan pil kuda yang dianggarkan bernilai RM1,410.

"Dari soal siasat suspek yang berumur 38 tahun mengaku mendapat bekalan daripada seorang lelaki di Kuala Terengganu.

"Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek turut positif dadah dan hasil semakan mendapati suspek yang berumur 38 tahun mempunyai lapan rekod lampau berkait dadah dan jenayah dan seorang lagi suspek ada tiga rekod berkait dadah," katanya.

Katanya, kedua-dua tangkapan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.