'Itu klip video, cerita lama'

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - “Itu video dan cerita lama,” jelas Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai penularan klip video yang menunjukkan beliau menyamakan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) dengan UMNO.

Ketua Menteri Sabah berkata klip video itu dirakam sebelum Bersatu masuk ke Sabah.

"Cerita itu (klip video) kerana kita tahu ada ahli parti (Warisan) ragu dan bimbang berkaitan jawatan mengenai kemasukan Bersatu ke Sabah.

"Hari ini Bersatu sudah masuk (ke Sabah) dan kita beri kerjasama di peringkat negeri Sabah," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Majlis DBKK ‘KK Moving Forward’ di sini, hari ini.

Shafie diminta mengulas penularan klip video di negeri ini yang menunjukkan beliau sedang bercakap dengan beberapa wanita yang meminta pandangannya untuk menyertai Bersatu, dan jawapan beliau kepada wanita berkenaan: “Ini Bersatu, UMNO. Jadi kenapa kamu mahu ikut Bersatu.”

Dalam klip video itu, kedengaran Mohd Shafie bertanya kepada wanita itu siapa yang menghasut mereka dan turut menjelaskan Warisan berada di landasan tepat untuk membela hak Sabah dan negeri di bawah Persekutuan Malaysia.

Dalam video itu juga beliau menjelaskan telah memilih menubuhkan parti baharu dan menolak pelawaan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai Bersatu sebagai Timbalan Presiden sebelum pilihan raya umum lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: