OKU ugut bunuh, tumbuk pengerusi persatuan penduduk

Soon Boon dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku bersalah mengugut bunuh dan menumbuk pengerusi persatuan penduduk pada 15 Ogos lalu.
Soon Boon dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku bersalah mengugut bunuh dan menumbuk pengerusi persatuan penduduk pada 15 Ogos lalu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah mengugut bunuh dan menumbuk pengerusi persatuan penduduk, minggu lalu.

Tan Soon Boon, 60, yang mengalami masalah penglihatan membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan dua pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Teo Shu Yee.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan ugutan terhadap Wong Chin Chye, 61, bagi maksud hendak menakutkannya dengan kata-kata 'aku akan bunuh kamu'.

Tertuduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama dengan cara menumbuk di bahagian muka sebelah kanan lelaki tersebut.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh pada jam 11.43 malam di hadapan sebuah rumah di Jalan Bukit Serindit Dalam di sini pada 15 Ogos lalu.

Mengikut fakta kes, Soon Boon bertindak demikian disebabkan tidak berpuas hati selepas mendakwa dia yang hidup sebatang kara tidak mendapat pelbagai bantuan termasuk sumbangan sebanyak RM100 sempena Tahun Baharu Cina dalam tempoh tiga tahun disebabkan oleh mangsa.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan sebagai seorang OKU dia hanya bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan dan perlu menjaga adik lelakinya yang lumpuh.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Shu Yee kemudian memerintahkan hukuman penjara empat bulan dijalankan serentak bagi semua pertuduhan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 16 Ogos lalu.