Pemuda Pas Kedah lancar petisyen solidariti Zakir Naik

Petisyen dilancarkan Pemuda Pas Kedah di laman web change.org (Gambar kecil: Nurul Amin Hamid)
Petisyen dilancarkan Pemuda Pas Kedah di laman web change.org (Gambar kecil: Nurul Amin Hamid)
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah melancarkan petisyen atas talian bagi menyatakan solidariti terhadap penceramah bebas, Dr Zakir Naik.

Ketuanya, Nurul Amin Hamid berkata, petisyen itu dilancarkan bagi memohon kerajaan memberi perlindungan sepenuhnya selain memberi jaminan keselamatan pendakwah itu.

Menurutnya, pihaknya juga berharap kerajaan mengekalkan status penduduk tetap (PR) yang diberikan kepada Zakir.

“Ini antara usaha yang kita lakukan untuk bantu Zakir. Dalam tempoh sehari dilancarkan petisyen solidariti tersebut telah memperoleh lebih 70,000 tandatangan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Nurul Amin turut memuat naik pautan petisyen yang dilancarkan semalam menerusi laman web change.org itu di laman Facebook miliknya.

Beliau berkata, sewajarnya orang ramai perlu menilai seseorang berdasarkan ilmu dan hujah yang benar, bukan bersikap prejudis dan melemparkan tuduhan melulu.

“Saya percaya rakyat Malaysia bersifat penyayang dan bertoleransi. Kepelbagaian kaum dan agama selama ini membuktikan kita boleh hidup secara harmoni.

“Kedatangan Zakir ke Malaysia membawa banyak kebaikan melalui kepakaran ilmu beliau, malah beliau bersikap matang dalam ucapan selain berusaha bantu umat Islam memahami agama secara harmoni,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Namun Nurul Amin berkata, apa yang berlaku hari ini adalah kesan daripada sikap prejudis dan melampau sesetengah pihak terhadap Zakir, sehingga beliau terpaksa mengharungi kepayahan dan tidak lagi dibenarkan menyampaikan dakwah.

“Apa yang membimbangkan adalah ancaman terhadap keselamatan beliau jika dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Petisyen yang menyasarkan jumlah sokongan sehingga 150,000 itu telah menerima 97,000 tandatangan setakat jam 2.45 petang hari ini.