Kerjasama semua pihak perlu untuk pulih ekonomi Melayu

Abdul Rahman (kanan) menyampaikan ucapan pada program tersebut yang dikendalikan Ketua UMNO Cawangan Sungai Senam, Norali Nordin.
A
A

IPOH - Orang Melayu di negara ini perlu memberikan keutamaan memilih barangan mahupun perkhidmatan milik syarikat Melayu bagi memastikan ekonomi bangsa itu terus meningkat.

Pengerusi Institut Kesedaran Rakyat, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin berkata, saranan berkenaan bukanlah sesuatu yang rasis sebaliknya usaha orang Melayu sendiri untuk mengukuhkan ekonomi.

Menurutnya, selaku majoriti kaum dengan kira-kira 67 peratus yang mempunyai kuasa membeli dalam pasaran negara, seharusnya faktor itu dimanfaatkan sepenuhnya.

"Ini bukan rasis, ini soal bagaimana kita membantu sesama kita, orang lain jangan khuatir supaya semua akan dapat faedah itu. Tolong sesama kita dalam semua bidang sama ada dalam perkhidmatan, NGO (badan bukan kerajaan), perniagaan dan sebagainya.

"Ini perlu dijadikan sifat, pegangan. Sewaktu saya memimpin Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, slogan ini Melayu tolong Melayu sudah ada cuma setelah saya tinggalkan persatuan, slogan ini diabaikan. Bukan Melayu tolong Melayu tetapi Melayu tolong diri sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Siri Bersama Tokoh, Ekonomi Politik Melayu: Cabaran Masa Kini anjuran UMNO Cawangan Sungai Senam, Bahagian Ipoh Barat di Rumah Putih, di sini malam tadi.

Katanya, menyokong barangan atau perkhidmatan orang Melayu bukan bermaksud tidak boleh menggunakan barangan orang lain.

"Jika sesuatu barang atau perkhidmatan itu tidak dijalankan oleh orang Melayu, barulah keutamaan itu diberikan kepada orang lain," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang berpengalaman selama 40 tahun dalam bidang korporat berkata, dalam usaha mengukuhkan ekonomi orang Melayu juga memerlukan kekuatan politik kerana kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain.

"Kekuatan ekonomi ini harus bergantung kepada kekuatan politik. Kerana dengan adanya kekuatan politik ia akan mengagihkan sumber. Kita dapat gaji sebab ada kekuatan politik berikan kita pekerjaan.

"Bila kuasa politik kuat maka kuatlah ekonomi. Sebab itu pentingnya kuasa di dalam politik ini," katanya yang juga merupakan bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Abdul Rahman berkata, beliau turut kecewa DPMM hari ini digantung dan dibubarkan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sekali gus melambangkan institusi perniagaan yang mewakili Melayu hilang.

"Sewaktu saya memimpin dahulu kita ada Majlis Ekonomi Melayu Malaysia. Di bawahnya ada lebih 60 NGO Melayu termasuk persatuan peguam, persatuan arkitek dan sebagainya.

"Setahun sekali mereka akan berdepan dengan perdana menteri menceritakan apa keperluan mereka dalam semua bidang. Begitu juga kita tubuhkan dewan perniagaan wanita dan pemuda," katanya.

Menurutnya, kekuatan ekonomi orang Melayu mampu dikembalikan dengan syarat semua pihak bekerjasama memberikan sokongan.

"Seperti mana pecahnya Melayu di dalam politik, banyak institusi Melayu yang tidak diangkat.

"Masyarakat Melayu di negara ini perlu terus ke hadapan dan mengabaikan sebarang tuduhan kebencian yang dilemparkan pihak tertentu kepada bangsa Melayu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia