Taska, pusat jagaan tidak berdaftar digesa buat pemutihan

Nicole Tan menyampaikan cenderamata kepada penceramah yang terlibat dalam program itu.
A
A

SEREMBAN - Terdapat 52 taska dan 40 pusat jagaan di negeri ini dikesan setakat ini tidak berdaftar di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 dan Akta Pusat Jagaan 1993.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga, dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya berusaha memastikan taska dan pusat jagaan tidak berdaftar dapat diminimumkan dengan menjalankan program pemutihan secara agresif mulai tahun ini.

"Berdasarkan rekod taska tidak berdaftar sehingga 31 Julai di Seremban sebanyak 42 buah, Port Dickson dan Tampin masing-masing 3 Taska dan selebihnya Rembau dan Jempol.

"Manakala pusat jagaan tidak berdaftar juga dalam tempoh rekod yang sama, Seremban 32 buah, Port Dickson dan Rembau masing masing 2 buah, dan bakinya Tampin, Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol," katanya dalam sidang media selepas selesai Program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daftar Taska dan Pusat Jagaan di sini hari ini.

Nicole berkata, pihaknya telah memberikan surat amaran juga tempoh untuk pemilik berkenaan mendaftarkan taska dan pusat jagaan, bagaimanapun mereka masih ingkar berbuat demikian.

"Maka mereka berdepan dengan tindakan undang-undang di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) dan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) yang boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara atau kedua-duanya," katanya.

Nicole berkata, berdasarkan statistik di negeri ini pencapaian setakat Julai 2019 terdapat 157 Taska dan 109 pusat jagaan telah berdaftar di bawah akta berkenaan.

"Kami percaya dengan pusat jagaan yang telah berdaftar dengan JKM merupakan sebuah entiti yang celik ilmu dan mendokong aspirasi kerajaan bagi membangunkan sistem sokongan perkembangan terhadap kanak-kanak dan kumpulan sasar jabatan lain," katanya.

Dalam pada itu, Nicole Tan berkata, program hari ini melibatkan agensi-agensi teknikal seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Agensi ini memberi penjelasan kriteria dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh agensi berkenaan untuk diluluskan syarat perakuan taska dan pusat jagaan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia