Gojek jejas pendapatan pemandu teksi

Persatuan Pemandu-pemandu Kereta Sewa Teksi Bandar Sungai Petani tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Gojek. (Gambar kecil: Nordi)
A
A

SUNGAI PETANI - Persatuan Pemandu-pemandu Kereta Sewa Teksi Bandar Sungai Petani tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaan teksi motosikal, Gojek kerana mampu menjejaskan pendapatan mereka.

Yang Dipertuanya, Nordi Ahmad berkata, antara faktor lain ialah kurangnya aspek keselamatan, terdedah kepada cuaca tidak menentu, tiada ruang bagasi dan berlawanan budaya sekiranya penunggang dan penumpang berlainan jantina.

Menurutnya, sekiranya wanita yang menggunakan perkhidmatan Gojek, sudah tentu berdepan risiko bahaya, gangguan seksual serta ancaman jenayah.

"Gojek tidak sesuai digunakan sekiranya hari hujan atau cuaca terik kerana tidak berbumbung," katanya hari ini.

Dalam pada itu, ruang duduk dan meletakkan beg yang terhad juga dilihat kurang sesuai bagi jarak perjalanan jauh kerana boleh memberi kesan terhadap aspek kesihatan terutama warga emas.

"Kita memang tak setuju, kerana dengan adanya Gojek, boleh jadi pendapatan teksi berkurang kerana sekarang pun kami perlu bersaing dengan Grab dan yang lebih penting, tiada jaminan keselamatan buat penumpang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gojek bantu anak muda dapat peluang pekerjaan


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia