Mahkamah putuskan esok tarikh perbicaraan kes 1MDB Najib

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tarikh perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama, akan diputuskan esok.

Ini tertakluk sama ada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd boleh diselesaikan esok atau sebaliknya.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menetapkan 4.30 petang esok bagi kedua-dua pihak (pendakwaan dan pembelaan) untuk memaklumkan kepadanya perkembangan terkini status perbicaraan SRC.

Bagaimanapun, hakim itu bercadang untuk memulakan perbicaraan 1MDB pada Selasa depan (27 Ogos) bergantung kepada perkembangan kes SRC.

Terdahulu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mencadangkan kes 1MDB bermula pada Selasa (27 Ogos) kerana kes semakan kehakiman mengenai kes sivil untuk menggugurkannya sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Isnin. - Bernama

Artikel Berkaitan: