Jangan pindah sisa Lynas ke lokasi lain: ADUN Teruntum

Chon Siang (kiri) dan Hon (kanan) memberi keterangan polis.
Chon Siang (kiri) dan Hon (kanan) memberi keterangan polis.
A
A
A

KUANTAN - "Saya tidak setuju pindah sisa Lynas di mana-mana lokasi negeri ini," tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang.

Beliau berkata, isu keselamatan penduduk negeri ini terutama di Kuantan menjadi tumpuan dan menjadi sebab utama beliau membantah Lynas.

"Sebagai ADUN Pakatan Harapan saya prihatin dengan kesihatan rakyat Kuantan. Bagi saya kilang Lynas akan membahayakan kesihatan penduduk.

"Oleh sebab itu saya menentang dan tidak puas hati dengan keputusan Kabinet yang memberikan tempoh enam bulan untuk Lynas Corporation Ltd.

"Saya difahamkan dalam tempoh tersebut kilang itu perlu mencari lokasi baharu untuk menempatkan sisa mereka. Persoalannya di mana? Adakah penduduk di lokasi baharu itu akan setuju? Saya tak setuju di mana-mana lokasi pun di Pahang," katanya pada sidang media di Pejabat Khidmat Rakyat Dun Teruntum di sini hari ini.

"Saya minta kerajaan Pahang jangan hantar sisa ini pergi ke mana-mana. Kita tidak mahu berlaku seperti tragedi Bukit Merah dan jangan berlaku di Pahang. Apa yang dijanjikan Lynas, sisa ini perlu dikeluarkan.

"Jadi saya harap Kabinet kaji semula apa yang dijanjikan oleh Lynas sebelum ini dan pastikan Lynas mengikut janjinya iaitu mengeluarkan sisa kilang itu dari negara ini," katanya.

Terdahulu, Chon Siang dan peguam yang mewakili Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Hon Kai Ping dipanggil memberi keterangan kerana terlibat dalam perhimpunan 818 di Taman Gelora yang didakwa tanpa permit baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Mereka disiasat di bawah Seksyen 95(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan memberi keterangan selama kira-kira sejam dengan kehadiran peguam, Mohd Irwan Bidin.

Mengulas lanjut, Chon Siang berkata, pihaknya tidak terlibat dalam urusan permohonan permit namun dimaklumkan oleh penganjur bahawa mereka sudah membuat pemberitahuan kepada pemilik lokasi.

"Saya difahamkan Majlis Perbandaran Kuantan tidak keluarkan surat tolak. Pihak SMSL pun sudah berikan pemberitahuan. Mereka anggap bolehlah.

"Peserta pula tidak tahu, kita pergi sertai sahajalah. Lagipun itu tempat orang awam berhimpun, beriadah dan lakukan banyak aktiviti berkumpulan," katanya.