Najib tempelak Guan Eng isu pampasan tol RM1 bilion

Kenyataan Guan Eng bertarikh Februari 2014 yang disunting Najib dan dimuat naik di Facebooknya.
Kenyataan Guan Eng bertarikh Februari 2014 yang disunting Najib dan dimuat naik di Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Pampasan yang dibayar kepada syarikat konsesi lebuhraya oleh Kerajaan PH berjumlah RM1 bilion kini diibaratkan 'halal' tidak seperti yang dilakukan BN sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri, Datu Seri Najib Tun Razak berkata, membayar pampasan kepada syarikat konsesi bagi mengelakkan tol naik telah lama dilaksanakan Kerajaan BN namun ketika itu DAP menyifatkan tindakan berkenaan sebagai usaha hanya untuk menambah kekayaan syarikat kroni tol.

Kata Najib lagi, namun hari ini, Kerajaan PH sangat bangga dengan keputusan mereka membayar pampasan RM1 bilion agar kadar tol lebuhraya tidak naik tahun depan.

“Dan menariknya, Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) adalah dari DAP, parti yang menjadikan acara tahunan untuk marah pada saya.

“Saya dimarahi dan diserang setiap tahun oleh DAP apabila membayar pampasan. Saya juga dimarah pada akhir tahun 2015 kerana membenarkan kadar tol dinaikkan untuk tahun 2016.

“Saya dimarah lagi oleh DAP tahun lepas, kerana membayar pampasan RM2.2 bilion untuk menghapuskan sepenuhnya empat tol di Johor, Selangor dan kedah. Tiap-tiap tahun, DAP marah,” katanya dalam perkongsian di Facebooknya hari ini.

Najib berkata, hari ini Kerajaan PH banyak membuat pusingan U dan ‘copy-paste’ dasar Kerajaan BN yang mereka selalu kritik dan marah sebelum ini.

“Oleh itu, saya juga copy-paste kenyataan lama Menteri Kewangan kita yang memarahi saya kerana membayar pampasan RM400 juta (kepada syarikat konsesi tol) pada tahun 2014 untuk tidak menaikkan tol.

Artikel Berkaitan:

“Saya copy-paste dari dia dan membuat sedikit ubah suai sahaja untuk membalas pengumumannya,” katanya yang turut memuat naik di Facebooknya tangkap layar kenyataan Guan Eng bertarikh Februari 2014 yang menunjukkan beberapa bahagian disunting untuk membuktikan pusingan U pampasan yang diumumkan Kerajaan PH.

Najib memberitahu, kebanyakan konsesi tol diluluskan oleh 'PM dahulu' itu dan bukan ketika di bawah pentadbirannya.

“Malah kerajaan BN pada masa saya membeli balik dengan sepenuhnya syarikat Plus pada 2011 dari kini Plus dimilik 51% Khazanah Nasional dan 49% oleh KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Ya, KWSP, sekali lagi ia menguntungkan pencarum,” katanya.

Najib menambah, satu-satunya pengecualian adalah pada 2015 apabila kadar tol bagi lebuh raya tidak di bawah Plus, syarikat konsesi lebuh raya terbesar di negara itu.

Beliau berkata kenaikan tersebut pada masa kerajaan menghadapi krisis tunai akibat kejatuhan harga minyak.

Semalam, Guan Eng mengumumkan hampir RM1 bilion akan dibelanjakan untuk membekukan kenaikan tol di 21 lebuh raya di seluruh negara, termasuk pemansuhan tol motosikal di 2 jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Laluan Kedua di Johor.

“Kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memenuhi janji manifesto yang terkandung dalam Buku Harapan. Pembekuan ini adalah sebahagian daripada usaha tersebut,” katanya.