Perkhidmatan Gojek perlukan kajian teliti

Gambar kecil, Aslah Abdullah.
Gambar kecil, Aslah Abdullah.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor menyarankan kerajaan agar melakukan kajian yang lebih teliti sebelum memberi sebarang kelulusan terhadap perkhidmatan teksi motosikal atau Gojek.

Presidennya, Datuk Aslah Abdullah berkata, pelbagai aspek perlu diberi perhatian oleh kerajaan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan itu diluluskan khususnya melibatkan faktor keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mendapatkan pandangan semua pihak melibatkan persatuan-persatuan pemandu teksi dan pihak berkepentingan bagi mendapatkan input yang bernas berhubung pelaksanaan tersebut.

"Ini bukannya seperti projek setinggan di mana mereka lulus dahulu sebarang pelaksanaan dan kemudian baru nak fikirkan tentang aspek undang-undang.

"Pelbagai perkara perlu diberi perhatian dan disebabkan itulah kajian yang teliti perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang kelulusan diberikan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Aslah berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan Kabinet yang meluluskan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan Gojek bagi memberi peluang buat anak muda khususnya 'mat motor' mendapatkan peluang pekerjaan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini turut memaklumkan pelaksanaan perkhidmatan itu juga dilihat dapat membantu masyarakat mendapatkan pengangkutan awam pada kos yang rendah tanpa perlu menghadapi kesesakan trafik yang teruk.

Mengulas lanjut, Aslah berkata, hasrat kerajaan yang ingin mewujudkan lebih peluang pekerjaan buat golongan belia melalui perkhidmatan ini merupakan satu usaha yang baik namun aspek berkaitan keselamatan pengguna seharusnya lebih diberikan penekanan.

Artikel Berkaitan:

"Berapa banyak kes kemalangan melibatkan motosikal pada setiap hari dan disebabkan itulah saya harap agar perkhidmatan ini dikaji terlebih dahulu," katanya.

Tambahnya, keputusan bagi meluluskan perkhidmatan Gojek ini juga bakal memberi kesan kepada pendapatan pemandu teksi yang sebelum ini sememangnya tergugat dengan kewujudan perkhidmatan e-hailing.

"Sebelum ini banyak syarikat pengusaha teksi terpaksa gulung tikar selepas kewujudan perkhidmatan e-hailing dan jika Gojek diluluskan, pastinya ia akan lebih memberi kesan kepada mereka," katanya.