Penganggur tetak Ketua Polis Besut didakwa

Mohd Nasli didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi pada 15 Ogos lalu.
Mohd Nasli didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi pada 15 Ogos lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penganggur yang menetak Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah sehingga ibu jari mangsa putus.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Nasli Mohd Nasir, 33, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah di bahagian ibu jari tangan kanan mangsa hingga putus dan mengalami cacat kekal.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu menggunakan parang panjang di hadapan rumah di Taman Cordoba Residence Padang Luas, Jerteh, Besut, kira-kira jam 12.30 tengah hari, pada 15 Ogos lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah di hadapan Hakim Azman Mustapha manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Kamaruzaman A Wahab.

Sejurus pengakuan tidak salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen di Mahkamah Sesyen Besut.

Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan demi menjaga keselamatan mangsa serta ahli keluarganya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi cedera di kepala dan putus ibu jari kanan akibat ditetak seorang lelaki menggunakan parang di hadapan rumahnya di Besut.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki mental tetak Ketua Polis Daerah Besut ditahan