Mahkamah keluar waran tangkap ke atas 20 nelayan Vietnam

Kompleks Mahkamah Terengganu.
Kompleks Mahkamah Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas 20 nelayan warga Vietnam termasuk seorang tekong yang dituduh menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran, kerana melarikan diri semasa dalam proses perbicaraan.

Waran itu dikeluarkan Hakim Azman Mustapha selepas menjatuhkan hukuman denda lebih RM1 juta terhadap seorang tekong dan 19 awak-awak yang berusia antara 18 hingga 51 tahun kerana didapati bersalah menangkap ikan di perairan negara tanpa permit sah.

Tertuduh Hua Van Do, 40, sebagai tekong dikenakan denda sebanyak RM600,000 atau tiga tahun penjara, manakala 19 kru yang lain masing-masing didenda RM60,000 atau dua tahun penjara.

Jika mereka yang sebelum ini dilepaskan dengan jaminan itu gagal membayar denda terbabit, mahkamah memerintahkan tempoh penjara dikira dari tarikh mereka akan ditangkap semula.

Semua keputusan dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Terdahulu, mereka didapati menangkap ikan di perairan perikanan negara tanpa permit sah dikeluarkan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, kira-kira jam 3.05 petang di atas vesel penangkapan ikan asing pada jarak 130.8 batu nautika dari Kuala Kemaman, pada 5 Mei lalu.

Dengan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a)Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dihukum mengikut Seksyen 25(a) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh hendaklah didenda tidak melebihi RM1 juta setiap seorang dalam hal empunya atau nakhoda dan tidak melebihi RM100,000 setiap kru.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan.

Manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela Mohd Suhaimi Ismail, Muhammad Syahri Adnan dan Muhammad Fitri Mokhtar daripada Tetuan Rafaeil & Co.

Sementara itu, mahkamah turut memerintahkan kesemua barang kes dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia..