Mangsa rentung nahas belum dapat dikenal pasti

Kamarulzaman Jusoh
Kamarulzaman Jusoh
A
A
A

KUANTAN - Mayat ketiga-tiga mangsa yang rentung dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua lori di Bera, Selasa lalu masih belum dikenal pasti.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, berdasarkan bedah siasat, pihaknya hanya mengetahui jantina mangsa menerusi analisis cap jari.

Menurutnya, pihaknya mendapati mangsa terdiri daripada lelaki dewasa, wanita dewasa dan remaja lelaki, namun bangsa kesemua mangsa yang rentung itu masih belum dapat diketahui.

“Kita juga tidak dapat mengesahkan nama, umur dan identiti mangsa kerana tiada pengenalan diri yang ditemukan pada mereka disebabkan kenderaan yang hangus.

“Sehingga kini tiada waris yang tampil membuat laporan kehilangan ahli keluarga dan menuntut mayat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi kelmarin, Proton Wira dinaiki ketiga-tiga mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan dan melanggar lori jenis Mitsubishi sebelum terbakar.

Kejadian turut membabitkan sebuah lagi lori dan semua mangsa ditemui dalam keadaan rentung selepas dikeluarkan anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, semakan ke atas nombor enjin kenderaan mendapati nombor pendaftaran kereta itu ialah BEG 7068.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasat lanjut mendapati pemilik kereta terbabit beralamat di Selangor.

“Kereta itu sudah dijual kepada beberapa orang tanpa menukar nama pada geran kenderaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.