Polis Kedah keluar 721 saman

A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 721 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam tempoh lapan hari oleh Polis Kedah dalam Operasi Kenderaan Perdagangan di seluruh negeri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Kedah, Superitenden Chuah Seong Lim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 160 saman dikeluarkan atas kesalahan berkaitan lesen dalam operasi bermula Rabu minggu lepas hingga berakhir kelmarin.

Menurutnya, kira-kira 97 saman bagi kesalahan parkir di tempat tidak dibenarkan sehingga menghalang lalulintas, cukai jalan tamat tempoh dan nombor pendaftaran patah serta kotor (67) dan membawa muatan lebih dan berbahaya (32).

"Manakala, 28 saman dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, insuran (23), cermin sisi (18), mengubah suai struktur (12), lampu brek (9), tayar botak (6) dan pelbagai kesalahan lain dalam operasi yang diketuai Pegawai Turus Penguatkuasa Trafik Kedah, Asisten Superintendan Meor Amir Meor Md Khalil itu.

"Selain itu, sebanyak 151 saman dikeluarkan kepada kenderaan lain, dan Jabatan Pengangkutan Jalan yang turut serta dalam operasi itu turut mengeluarkan 23 notis," katanya.

Katanya, sikap pemandu kenderaan perdagangan yang masih tidak berdisiplin dan memandang rendah terhadap undang-undang jalan raya dapat dilihat melalui saman dikeluarkan dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, operasi dilaksanakan tertumpu di jalan Alor Setar-Butterworth, jalan di Jalan Jeniang-Bukit Perak (Jeneri) dan jalan lain yang dijangka sesak semasa musim cuti sekolah.

Artikel Berkaitan: