997 sensor PSP dijangka siap dipasang 24 September

Dari kiri, Rozali, Jagdeep, Tung Seang dan Abdul Halim menunjukkan aplikasi PSP yang dimuat turun ke dalam telefon bimbit pada sidang media tadi.
Dari kiri, Rozali, Jagdeep, Tung Seang dan Abdul Halim menunjukkan aplikasi PSP yang dimuat turun ke dalam telefon bimbit pada sidang media tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Pemasangan baki sensor untuk Sistem Tempat Letak Kereta Pintar di Pulau Pinang (PSP) sebanyak 997 buah di seluruh negeri dijangka siap pada 24 September ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, kelewatan itu disebabkan stok peralatan tersebut terkandas di Lapangan Terbang Hong Kong menyebabkan ia tidak sampai ke negeri ini pada waktu yang ditetapkan.

Menurutnya, bagaimanapun syarikat pengurusan sistem tersebut HeiTech Padu (HTP) Berhad telah berusaha untuk membawa peralatan sensor tersebut secepat mungkin dengan menggunakan perkhidmatan kapal (laluan laut).

"Pemasangan sensor sebanyak 997 buah iaitu 647 di bahagian pulau dan 350 di kawasan seberang (Icon City) dijangka siap sepenuhnya pada 24 September ini.

"Ia berikutan stok sensor telah terkandas di Lapangan Terbang Hong Kong susulan tindakan penunjuk perasaan prodemokrasi mengadakan protes besar-besaran menyebabkan perjalanan sistem kereta api dan penerbangan antara bangsa di Hong Kong terjejas.

"Bagaimanapun HTP Berhad telah berusaha untuk membawa stok barangan itu yang dijangka akan sampai di Kuala Lumpur pada 29 Ogos ini dan seterusnya di Pulau Pinang pada 6 September. Fasa perintis ini akan beroperasi sepenuhnya pada 24 September ini," katanya pada sidang media di Komtar tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Yew Tung Seang; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Rozali Mohamud dan Naib Presiden Eksekutif HTP Berhad, Abdul Halim Md Lassim.

Jagdeep menambah, selain masalah tersebut kerajaan negeri juga mengenal pasti masalah kedua iaitu kegagalan memuat turun aplikasi PSP bagi pengguna android.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, aplikasi PSP dijangka boleh dimuat turun esok (Jumaat) dan tertakluk kepada kelulusan daripada Google.

"Bagaimanapun, saya difahamkan pengguna android sudah boleh memuat turun aplikasi PSP bermula jam 12 tengah malam tadi. Ia bermakna masalah ini telah diselesaikan oleh HTP Berhad sebelum tarikh yang ditetapkan.

"Sehingga kini, 13,256 pengguna berjaya memuat turun aplikasi itu melalui IOS dengan 459 daripadanya membuat bayaran tempat letak kereta sebanyak RM501," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap HTP Berhad mematuhi ketetapan masa yang diberikan dan sekiranya gagal tindakan selanjutnya akan diambil.

"Sekiranya HTP Berhad gagal mematuhi ketetapan masa, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengkaji semula perjanjian dengan HTP Berhad.

"Selain itu, ingin saya tegaskan bahawa projek ini adalah Private Funding Investment (PFI) yang mana, segala perbelanjaan bagi CAPEX dan OPEX ditanggung oleh HTP Berhad dan tiada kos melibatkan kedua-dua PBT," katanya.

Ahad lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow merasmikan PSP Fasa Perintis dengan 36,000 petak tempat letak kereta (TLK) disediakan di seluruh negeri ini.

Fasa tersebut merupakan sebahagian daripada fasa pertama sistem baharu itu diperkenalkan yang bermula Isnin lalu sehingga Disember ini.

PSP adalah perkhidmatan integrasi teknologi maklumat (ICT) yang melibatkan pengurusan dan operasi bagi petak TLK secara pintar.