Exco Perak nafi campur urusan pelantikan ahli majlis

Abdul Yunus (lima dari kiri) bersama wakil pegawai kerajaan yang terbabit dalam konvoi mengibarkan Jalur Gemilang dalam program menyusuri Sungai Kurau di Jeti Marin, Kuala Kurau hari ini.
Abdul Yunus (lima dari kiri) bersama wakil pegawai kerajaan yang terbabit dalam konvoi mengibarkan Jalur Gemilang dalam program menyusuri Sungai Kurau di Jeti Marin, Kuala Kurau hari ini.
A
A
A

KUALA KURAU - Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari menafikan dakwaan beliau antara individu 'tangan ghaib' yang cuba mencampuri urusan dalaman PKR Perak dalam menetapkan senarai pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi tahun 2019- 2021.

Sebaliknya, Ketua PKR cabang Kuala Kurau itu menegaskan kelewatan proses pelantikan ahli majlis di Perak adalah perkara biasa dan bukan isu yang perlu dipolitikkan.

Menurutnya, isu kelewatan pelantikan itu disebabkan pengurusan parti di peringkat negeri masih meneliti semula kelayakan semua ahli majlis yang dicalonkan, terutama membabitkan empat PBT iaitu Kerian, Selama, Taiping dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Isu kelewatan proses pelantikan ahli majlis PBT di Perak adalah proses biasa dan sepatutnya tidak menjadi isu.

"Kita masih meneliti semula kelayakan semua ahli majlis dicalonkan dan senarai pelantikan nama ahli majlis PBT yang dihantar parti masih membabitkan senarai lama.

"Kita menjangkakan isu pelantikan ahli majlis di semua PBT di Perak akan diselesaikan selewat-lewatnya bulan hadapan memandangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu difahamkan sudah pulang daripada Tanah Suci Makkah,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis perlepasan konvoi bot mengibarkan Jalur Gemilang dalam Program Menyusuri Sungai Kurau sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat daerah Kerian di Jeti Polis Marin di sini hari ini.

Dalam program itu, sebanyak 21 bot membabitkan aset pelbagai agensi kerajaan daerah Kerian dikumpulkan bagi membawa konvoi Jalur Gemilang menyelusuri Sungai Kurau bermula di Jeti Marin, di sini dan berakhir di Kampung Padang Lalang, Gunong Semanggol dengan jarak lebih 30 kilometer.

Artikel Berkaitan:

Konvoi mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-62 itu mengambil masa perjalanan selama lebih dua jam setengah di samping membuat persinggahan di beberapa hentian yang ditetapkan bagi mempromosi kempen mengibarkan Jalur Gemilang.

Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus turut meminta rakyat tidak melayan sebarang isu remeh-temeh yang sengaja dicetuskan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab bagi menggugat perpaduan kaum di negara ini.

Menurutnya, pelbagai isu sensitif seperti tindakan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, isu bantahan terhadap penceramah terkemuka dunia, Dr Zakir Naik dan protes tulisan khat dan jawi yang diperkenalkan dalam silibus pendidikan kebangsaan sebenarnya tidak perlu dibesar-besarkan sehingga menjejaskan keharmonian dikecapi masyarakat majmuk negara ini.