Malaysia merdeka

A
A
A

KEMERDEKAAN Tanah Melayu menyimpan jutaan memori di sebalik peristiwa bersejarah ini. Kejayaan, kebanggaan, kemegahan yang dilakar menjadi kenangan terindah dalam paparan sejarah tanah air.

Namun, kesedihan, keruntuhan jiwa, kegagalan, kemusnahan dan kerencaman tidak terkecuali menempa kisah pada sepanjang tempoh menjelangnya status kemerdekaan yang dianugerahkan oleh penjajah British pada 31 Ogos 1957.

Rata-rata istilah merdeka diberi pelbagai interpretasi yang tersendiri mengikut peredaran zaman. Ada yang berpandangan merdeka tidak sesuai lagi digunakan kerana sudah lama Tanah Melayu mencapai status merdeka.

Mengapa perlu digunakan lagi istilah merdeka sedangkan Malaysia kini sudah bergerak jauh ke hadapan meninggalkan 31 Ogos 1957 dan berpaksikan pembangunan serta kemajuan yang lebih progresif, pembentukan masyarakat yang berkualiti, sejahtera dan bahagia.

Perkara lama usah dikenang, yang lepas sudah-sudahlah... jika inilah pemikiran dan jiwa masyarakat kita pada hari ini maka hancurlah impian Malaysia untuk bergerak lebih maju ke hadapan.

Sebaliknya, kita membina serta menjadi pengasas kepada sebuah masyarakat yang lupa sejarah negara dan sengaja tidak mahu menerima hakikat di sebalik kejayaan Tanah Melayu dan kini megah dinamakan sebagai Malaysia, tanah air tercinta.

Merdeka amat sinonim dengan pengorbanan, sumbangan, kudrat, keringat dan perjuangan yang tiada tolok bandingnya oleh semua lapisan bangsa serta agama yang memartabatkan nama Tanah Melayu sehingga merampas kembali maruah dan harga diri tanah air daripada penjajah asing.

Jasa mereka sama sekali tidak boleh dilupakan dan perlu diangkat bukan sahaja bila menjelangnya bulan bersejarah iaitu Ogos mahupun September bagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya bersyukur dan berterima kasih dengan kemudahan dan kesenangan pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

Berkata lebih mudah daripada melakukannya. Erti merdeka bukan hanya berbentuk tindakan, fizikal serta spiritual.

Merdekakah rakyat Malaysia daripada aspek sifat dan sikapnya pada hari ini?

Kita tidak mencari jawapan tetapi setiap perlakuan, perkembangan dan perubahan yang dapat dilihat dengan mata kasar itulah yang mencorakkan keperibadian masyarakat Malaysia yang memahami erti merdeka hati, pemikiran dan jiwanya.

Di mana jiwa merdeka kita jika masih bertelagah dan membangkitkan isu-isu sensitif hanya kerana rasa tidak puas hati, dengki, marah terhadap kelebihan dan keistimewaan seseorang dan mengeji, mencemuh, menghina dek kerana kelemahan dan kekurangan seseorang itu.

Bangga bergelar warga Malaysia yang merdeka bukan hanya melakukan sesuatu bagi melonjakkan nama negara Malaysia atau mengharumkan nama negara hanya apabila disuruh mahupun kerana kepentingan tertentu.

Kibar bendera, memakai pakaian kebangsaan, bertutur bahasa kebangsaan ialah perkara lapuk yang sepatutnya semua rakyat Malaysia tahu tentang tanggungjawab mereka sebagai anak Malaysia. Tidak perlu diperingatkan apatah lagi diminta-minta untuk melakukannya.

Pertuturan dan perlakuan yang baik, sopan santun, saling menghormati, bersikap rendah diri, menjaga keindahan dan kebersihan negara, tidak membuli, tidak melanggar peraturan merokok di tempat awam, tidak terlibat sebagai samseng jalanan, tidak mengambil dan edar dadah, tidak mengambil dan beri rasuah, tidak menyeleweng, tidak pecah amanah, tidak mencabul, tidak menyalahguna kuasa dan banyak lagi jika boleh disenaraikan perlakuan hodoh dan cacat itu yang tiada penyudahnya hingga ke hari ini.

Berbicara tentang negara maju, perkara-perkara asas sebegitulah penyebab utama rakyat Malaysia menjadikan negara mundur dan ‘terjajah’ dengan sendirinya oleh warganegaranya.

Malu jika menyebut kita sudah lama merdeka dan semakin maju jika kehidupan serta pemikiran tertinggal di era komunis.

Ya, benar Malaysia kini kembali ‘dijajah’ dengan lebih positif melalui perdagangan, perniagaan, ekonomi, teknologi dan bermacam lagi oleh negara kuasa besar yang lebih terkehadapan dalam perspektif itu.

Indahnya negara itu kerana indahnya warganya. Jika buruk negara itu maka penghuninya juga menjadi faktor penyumbang kepada keburukan sedia ada.

Bangga bergelar warga Malaysia yang merdeka bukan hanya melakukan sesuatu bagi melonjakkan nama negara Malaysia atau mengharumkan nama negara hanya apabila disuruh mahupun kerana kepentingan tertentu.”

* Prof Madya Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad ialah Fakulti Residen Sekolah Pengajian Siswazah Othman Yeop Abdullah, Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur