Samarnya perpaduan bangsa

A
A
A

SEPULUH hari lagi kita bakal menyambut Hari Kebangsaan. Tahun ini genap 62 tahun sudah negara merdeka. Bulan hadapan pula kita juga akan meraikan 56 tahun pembentukan Malaysia.

Kalau mengikut kedua angka tersebut, usia negara sudahpun melebihi separuh abad. Sudah banyak kejayaan membanggakan yang disaksikan. Cuma malangnya di sebalik semua kejayaan itu, hanya satu yang masih samar dicapai iaitu membentuk bangsa Malaysia.

Dengan apa yang berlaku hari ini, memang wajar untuk semua pihak memikirkan kesamaran itu apatah lagi dalam kegirangan menyambut Hari Kebangsaan yang sepatutnya mencetus semangat patriotisme dan membangkitkan nasionalisme.

Malangnya kegirangan itu nampaknya dicemari kenyataan-kenyataan sensitif dan mengungkit sentimen perkauman secara berleluasa serta tidak bertanggungjawab oleh individu dan pihak tertentu.

Atas nama kepentingan dan hak asasi, isu-isu melibatkan kaum, bahasa, agama, kewarganegaraan malah peranan dan sumbangan perajurit negara pun turut diheret sama bagi memperlihatkan ego masing-masing.

Sepatutnya bulan ini diceriakan dengan program yang mengembalikan semangat kemerdekaan dan keharmonian kaum di Malaysia.

Program-program itu sepatutnya mengingatkan tentang penyatuan rakyat Malaysia suatu ketika dahulu dan bagaimana kita semua bangkit dan bersatu berjuang menuntut kemerdekaan.

Semangat merdeka dan penyatuan Malaysia sepatutnya dimeriahkan oleh semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang bulan kemerdekaan dan hari Malaysia kelak, ia sepatutnya dimanfaatkan bagi menyuntik perasaan cinta dan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia.

Sepanjang tempoh ini juga, setiap pihak harus merenung dan bermuhasabah dengan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati dan rasa bersyukur dilahirkan di negara tercinta ini.

Buanglah semua sifat ego, perasaan curiga dan sikap pentingkan diri sendiri yang tidak membawa sebarang kebaikan buat kita dan negara.

Sebab itu, proses bina bangsa tidak boleh berhenti setelah semua sambutan tamat. Ia perlu diteruskan dan sentiasa disegarkan.

Menyedari bahawa negara masih bergelut untuk membentuk sebuah bangsa Malaysia yang diidamkan walaupun pelbagai usaha diambil kerajaan dalam bentuk dasar dan program ia tidak boleh berhenti setakat itu sahaja.

Sentimen perkauman, agama dan retorik politik yang melampau akan terus digunakan bagi meraih simpati dan populariti buat si petualang.

Sebab itu untuk melawan mereka itu, penekanan kepada pendidikan sejarah dan kenegaraan di peringkat sekolah dan pengajian tinggi mesti diperkasakan.

Penciptaan matlamat serupa dan dikongsi bersama harus segera dilakukan. Kalau Wawasan 2020 terdahulu dilihat antara dasar kerajaan yang berkesan dalam menyatu dan mengintegrasikan masyarakat di Malaysia, maka, kerajaan harus menggunakan konteks serupa dalam platform berlainan tetapi sesuai dengan tuntutan semasa.

Memang benar pembentukan bangsa melibatkan satu proses yang lama dan tidak boleh dicapai dalam jangka waktu dua atau tiga puluh tahun sahaja.

Perpaduan sekarang perlu dipertingkatkan lagi ke tahap lebih mantap dan kukuh supaya mampu menghadapi berbagai-bagai tekanan dan cabaran tanpa mudah tergugat.

Dalam konteks Malaysia, perpaduan itu barangkali akan terus bersifat kosmetik dan superfisial selamanya kalau semua pihak tidak mampu melihat dirinya sebagai Malaysia First berbanding Malay, Chinese atau Indian First seperti sekarang.

Sebab itu sudah tiba masanya kerajaan lebih tegas dan tidak keterlaluan memaksa program-program melibatkan pergaulan dan integrasi kaum dalam aktiviti bersifat bersama.

Ambil tindakan kepada mana-mana pihak yang enggan bekerjasama atau berkompromi dalam perkara yang menghalang perpaduan kaum.

Memang membina sebuah negara bangsa yang sempurna tidaklah mudah, apatah lagi negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia.

Tetapi kalau tiada iltizam dan kemahuan untuk membentuknya, maka selamanya kita terus terperangkap dalam kepompong perkauman yang akhirnya menggagalkan pembentukan identiti negara dan bangsa kita sendiri.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA