RM10,000 sebulan kalau rajin!

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GERIK - Sebanyak RM350,000 wang zakat diperuntukkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kepada 20 asnaf bagi Projek Tanaman Cili Fertigasi seluruh Perak bermula April lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIPK, Mohd Haidi Sulaiman berkata, kesemua penerima berkenaan diletakkan di bawah Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf MAIPK selama lapan bulan sehingga Disember tahun ini.

"Seramai 20 orang asnaf telah dipilih untuk mengikuti fasa pertama Projek Tanaman Cili Fertigasi melibatkan kerjasama antara MAIPk dengan Helmy Agrisolutions Sdn Bhd yang membimbing kesemua asnaf terlibat.

"Daripada 20 asnaf terpilih, seramai 15 orang daripada mereka berada di Daerah Hulu Perak, manakala bakinya di daerah lain dengan setiap seorang menerima peruntukan sebanyak RM17,500 bagi mengusahakan tanaman cili ini," katanya.

Mohd Haidi berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Tanaman Cili Fertigasi dan Tuaian Hasil Pertama 2019 di kediaman salah seorang peserta di Kampung Alai di sini.

Mohd Haidi (dua dari kiri) dan Meor Roslan (tiga dari kanan) bergambar selepas merasmikan Projek Tanaman Cili Fertigasi di Kampung Alai Gerik di sini.
Mohd Haidi (dua dari kiri) dan Meor Roslan (tiga dari kanan) bergambar selepas merasmikan Projek Tanaman Cili Fertigasi di Kampung Alai Gerik di sini.

Menurut Mohd Haidi, projek tanaman cili fertigasi merupakan salah satu usaha MAIPk membantu golongan asnaf berpotensi untuk keluar daripada kepompong kemiskinan bagi meningkatkan ekonomi keluarga mereka.

"Kita berikan mereka peruntukan melalui wang zakat dan juga bimbingan serta latihan agar mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dan daripada penerima zakat menjadi penyumbang zakat akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemua peserta yang terlibat dengan projek tanaman cili fertigasi ini mampu menjana pendapatan melebihi RM10,000 sebulan sekiranya ia diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Sementara itu, Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Datuk Meor Roslan Meor Ahmad Rashidi yang turut hadir merasmikan program berkenaan berkata, pihaknya melihat potensi yang luas dalam membantu mengurangkan kemiskinan di di daerah Hulu Perak dan negeri ini.

"Usaha daripada MAIPk ini mampu memberikan pendapatan lumayan kepada golongan asnaf dan mereka yang berpendapatan rendah sekiranya diperluaskan skop penglibatannya.

"Mungkin kita boleh melibatkan golongan muda, jawatankuasa masjid serta orang kampung untuk terlibat sama dalam tanaman cili fertigasi ini kelak," katanya.