MPSJ gempur pusat urut haram

Antara warga asing yang bekerja di pusat urut haram ditahan dalam operasi yang dijalankan.
A
A

PUCHONG - Membina laluan tikus bagi memudahkan pekerja dan pelanggan meloloskan diri, itu antara tindakan sebuah pusat urut haram di kawasan rumah kedai Bandar Puteri di sini bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Namun tindakan tersebut gagal apabila anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berjaya mengesan kewujudan laluan rahsia itu dalam operasi yang dijalankan petang tadi.

Laluan rahsia itu digunakan bagi menghubungkan antara tempat menunggu pelanggan ke ruangan bilik yang disediakan untuk pelanggan mendapatkan khidmat tukang urut warga asing di sini.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, serbuan dijalankan memfokuskan beberapa pusat urut yang tidak berlesen di sekitar kawasan ini.

"Dalam operasi ini kita telah menyerbu sebanyak dua premis rumah urut dengan kekuatan anggota seramai 25 orang dan didapati premis ini tiada lesen serta menjalankan kegiatan urut.

"Serbuan ini juga berjaya menahan seramai 32 tukang urut warga asing dan beberapa pelanggan yang mana kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika sidang media pada operasi yang dijalankan MPSJ di sini hari ini.

Katanya, operasi dijalankan berdasarkan hasil risikan yang dijalankan.

Anggota MPSJ memecahkan ruangan yang dibina tanpa kebenaran di premis urut haram ini.
Anggota MPSJ memecahkan ruangan yang dibina tanpa kebenaran di premis urut haram ini.

"Operasi dijalankan berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan, risikan ini amat penting sebab mereka ini ada modus operandi, ada kamera litar tertutup, ada lapisan pintu yang ketat keselamatannya, sukar kita nak pergi jadi kita perlu ada risikan yang padu.

"Alhamdulillah kita dapat tahan 32 tukang urut yang mana mereka ini turut menjalankan kegiatan urut batin, buktinya kita dapat temui kondom di bilik tertentu dan tilam yang ditemui bukan untuk urutan biasa tapi urutan batin," katanya.

Jelasnya, pihaknya juga mengingatkan kepada pengusaha pusat urut haram supaya berhenti menjalankan aktiviti ini.

"Kita akan ambil tindakan drastik seperti memecahkan semua yang mana keadaan seperti ini supaya mereka kembali kepada perniagaan yang sihat.

"Ini supaya mereka faham operasi rumah urut sebegini tidak akan dapat lesen," katanya.

Menurutnya, tindakan tegas dikenakan dalam operasi yang dijalankan ini.

"Hasil pemeriksaan tiada lesen dan kita telah ambil tindakan di bawah Undang-undang kecil pusat kecantikan 2013 di mana denda RM1,000 dan juga Seksyen 79 Akta 133 iaitu membuat ruangan tanpa kebenaran.

"Tindakan yang kita ambil adalah memecahkan partisan ini supaya mereka tidak boleh beroperasi lagi," katanya.