JKM kesan waris Nur Qistina

No Image Caption
A
A
A
KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Maran mengesan waris kepada seorang kanak-kanak yang diserahkan oleh ibu angkat kanak-kanak tersebut kepada JKM Maran sejak 21 Disember lalu.

Pelindung Kanak-Kanak Daerah Maran, Nor Zuhaira Abdul Kadir berkata, sehubungan itu JKM meminta ibu kandung kepada Nur Qistina Huda Abdul Razzaq, 4, atau warisnya untuk menghubungi Pelindung JKM Maran.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut diserahkan oleh ibu kandungnya kepada ibu angkat, Marziana Mohammad Noor dan Abd Razak Razali ketika berusia dua hari.

“Pelindung JKM Maran telah mengambil keputusan untuk meletakkan kanak-kanak di Rumah Tunas Harapan di bawah Seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Pihak kami gagal mengesan waris kanak-kanak itu termasuk ibu kandungnya bernama Rohayu Mat yang beralamat terakhir di Taman Damai Mewah Kajang, Selangor.

Ibu bapa angkat kanak-kanak itu ada memaklumkan JKM Maran bahawa Rohayu tidak lagi tinggal di alamat itu.

“Sekiranya waris tidak dapat dikesan selepas siaran akhbar ini dibuat, pihak JKM akan meletakkan kanak-kanak itu di bawah institusi kebajikan JKM.

Tarikh perbicaraan bagi kes kanak-kanak di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Maran ditetapkan pada 28 Januari depan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan waris boleh menghubungi pihak Pelindung Kanak-Kanak Daerah Maran, Pahang di talian 09-4771349.
Artikel Berkaitan: