Tunku Ismail pantau tahap kebersihan sungai Johor

A
A

JOHOR BAHRU - Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan supaya kesemua sungai tercemar di negeri ini dilakukan pembersihan secara besar-besaran.

Baginda bertitah demikian kepada Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika memantau keadaan Sungai Skudai hari ini.

Perkembangan itu dikongsikan melalui akaun Facebook rasmi baginda, HRH Crown Prince of Johor sebentar tadi.

"Pemangku Raja bertitah kepada Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri supaya melakukan pembersihan berkenaan dengan pencemaran dan juga pengurusan air secara besar-besaran di seluruh Johor.

"Baginda akan terus memantau tahap kebersihan sungai dan usaha-usaha yang dilakukan seperti di Sungai Skudai, Sungai Pasir Gudang dan juga di Sungai Tebrau serta akan memantau sungai-sungai di setiap daerah," memetik kenyataan tersebut.

Tunku Ismail berangkat menyusuri Sungai Skudai bagi meninjau dan memantau sendiri situasi terkini persekitaran Sungai Skudai hari ini yang dibersihkan secara berperingkat dan teratur oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.

Turut serta dalam tinjauan tersebut ialah wakil dari Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Badan Kawal Selia Air Negeri Johor.