Suami isteri lari tak tahan sikap anak

Suspek sedang tidur di bahagian dapur rumah yang ditinggalkan ibu bapanya ketika diserbu anggota AADK Besut.
Suspek sedang tidur di bahagian dapur rumah yang ditinggalkan ibu bapanya ketika diserbu anggota AADK Besut.
A
A
A

BESUT - Akibat tidak tahan dengan sikap anak sering meminta wang dan merosakkan harta benda, sepasang suami isteri nekad meninggalkan rumah mereka di Kampung Keluang dekat Kampung Raja di sini sejak setahun lalu.

Pasangan berusia 50-an itu mengambil keputusan tinggal bersama anak perempuan mereka di lokasi lain kerana tidak sanggup lagi tinggal dengan lelaki berusia 34 tahun itu yang juga penagih dadah tegar.

Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut, Nor Hafizza Mat Zin berkata, kemuncak kepada sikap berang lelaki itu ialah dia bertindak membakar motosikal selain merosakkan rumah gara-gara tidak berpuas hati ibu bapanya tidak memberikannya wang dipercayai untuk membeli dadah.

Menurutnya, lelaki yang bekerja mencari kepah secara sambilan itu kemudiannya tinggal bersendirian di rumah tersebut dalam keadaan tidak terurus kerana di bawah pengaruh dadah sehingga mendapat perhatian orang awam.

“Orang awam membuat aduan mengenai suspek kepada pihak kami dan susulan itu, serbuan telah dilakukan pada jam 7.30 pagi semalam di rumahnya di Kampung Keluang.

“Keadaan rumah itu yang sudah tidak mempunyai pintu utama membolehkan pihaknya melakukan serbuan dan menangkap suspek yang sedang tidur di satu sudut dalam rumah tersebut,” katanya.

Nor Hafizza berkata, suspek cuba mengeluarkan sebilah golok yang terselit di pinggangnya, namun tidak sempat berbuat demikian kerana terlebih dahulu diberkas anggota kami.

Menurutnya, suspek yang masih bujang itu dibawa ke pejabat AADK Besut untuk tindakan lanjut dan semakan mendapati suspek menagih dadah sejak 10 tahun lalu dengan kekerapan dua biji pil kuda sehari iaitu membabitkan kos sekitar RM20.

Artikel Berkaitan:

“Suspek juga pernah sekali dimasukkan di Pusat Pemulihan Narkotik pada 2017 selain pernah dipenjara kerana kesalahan dadah,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman di Pusat Tahanan Reman Besut selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983 pindaan 1998.