Istiadat pertabalan Undang Luak Jelebu ke-16 hari ini

Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad berkenan menerima mengadap Datuk Lembaga Delapan Luak Jelebu Datuk Raja Penghulu Raja Izzudin Raja Sirajuddin ketika Istiadat Haluan Sembah pada Istiadat Pertabalan Undang Luak Jelebu Ke-16 di Balai Undang Luak Jelebu, hari ini. Foto: Bernama
Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad berkenan menerima mengadap Datuk Lembaga Delapan Luak Jelebu Datuk Raja Penghulu Raja Izzudin Raja Sirajuddin ketika Istiadat Haluan Sembah pada Istiadat Pertabalan Undang Luak Jelebu Ke-16 di Balai Undang Luak Jelebu, hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

JELEBU - Istiadat Pertabalan dimulakan secara rasmi hari ini sekali gus melengkapkan pengisytiharan Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.

Istiadat akan berlangsung selama lima hari, dimulakan dengan istiadat bersiram di Telapak Kampung Kemin, dekat sini pagi ini, sebagai simbolik membersihkan jasmani dan rohani Maarof sebagai Undang Luak Jelebu yang baharu.

Usai bersiram, beliau kemudian berangkat diiringi Datuk Lembaga Delapan, Buapak-Buapak, Ibu Soko dan Anak Waris ke istiadat menyembelih kerbau, sebagai sebahagian daripada adat istiadat Luak Jelebu.

Maarof, 62, dan isteri Tok Puan Mahawa Mohd Som, 61, kemudian dibawa menaiki kenderaan khas dan diarak bermula dari Kampung Kemin mengelilingi Pekan Kuala Klawang hingga ke pintu gerbang Balai Undang Luak Jelebu, sejauh kira-kira empat kilometer dan bertemu dengan penduduk sekitar.

Sebaik sampai di pintu gerbang Balai Undang Luak Jelebu, Maarof dan Mahawa dibawa turun dari kenderaan khas dan diarak dengan berjalan kaki ke Balai Undang Luak Jelebu sejauh 100 meter dan kedua-dua mereka telah disambut dengan kumpulan Dikir Arak, persembahan tarian singa dan tarian tradisi India.

Seterusnya, perarakan masuk kedua-dua mereka disambut oleh perbarisan murid Sekolah Kebangsaan Undang Jelebu di kiri kanan jalan bermula daripada pintu gerbang Balai Undang Luak Jelebu hingga ke pintu utama Balai Undang Luak Jelebu.

Majlis diteruskan dengan Istiadat Haluan Sembah Datuk Lembaga Delapan, Buapak-Buapak, Ibu Soko dan Anak Waris diketuai Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Ismail Mohd Zin pada pukul 11 pagi.

Maarof dalam ucapannya melahirkan rasa syukur atas pelantikannya sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dan berikrar akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh berintegriti serta berpandukan al-Quran, hadis dan panduan pesaka adat Luak Jelebu dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Istiadat Pertabalan yang dihadiri kira-kira 500 penduduk Jelebu itu diakhiri dengan jamuan makan tengah hari.

Istiadat pertabalan pada sebelah petang bermula dengan menziarahi Makam Moyang Salleh iaitu Undang Luak Jelebu yang pertama, Makam Undang Musa (Undang Luak Jelebu ke-15) di Kampung Peradong, Makam Undang Syed Ali Al-Jufri (Undang Luak Jelebu ke-11) dan Undang Abu Bakar (Undang Luak Jelebu ke-14) di Chenor serta Makam Undang Abu Bakar (Undang Luak Jelebu ke-12) di Bandar Tinggi di sini.

Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad dan isteri Tok Puan Mahawa Mohd Som melambaikan tangan kepada rakyat Luak Jelebu pada Majlis Istiadat Pertabalan Undang Luak Jelebu Ke-16 di Balai Undang Luak Jelebu, hari ini. Foto: Bernama
Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad dan isteri Tok Puan Mahawa Mohd Som melambaikan tangan kepada rakyat Luak Jelebu pada Majlis Istiadat Pertabalan Undang Luak Jelebu Ke-16 di Balai Undang Luak Jelebu, hari ini. Foto: Bernama

Ia bertujuan untuk mengadakan majlis tahlil serta menzahirkan penghormatan kepada ke semua Undang Luak Jelebu yang terdahulu.

Pelbagai acara akan diadakan sempena Istiadat Pertabalan seperti persembahan kebudayaan, pertandingan masakan tradisional, pertandingan lancang, pertandingan kecantikan dan kesenian ayam serama, karnival sukan rakyat, perlawanan bola sepak persahabatan, santapan diraja serta jamuan rakyat.

Pertabalan itu akan diakhiri dengan istiadat menurunkan alat kebesaran pada 25 Ogos.

Maarof yang dilahirkan pada 21 Ogos 1957 dan juga anak kelima daripada enam adik beradik ialah bekas guru dan Pegawai Pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah Jelebu.

Beliau mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban dan Open University Malaysia.

Maarof diisytihar sebagai penyandang pesaka Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Undang Luak Jelebu ke-16 dalam kerapatan di Telapak Kampung Kemin, Kuala Klawang di sini pada 26 Jun 2018 dan disaksikan Datuk-Datuk Lembaga Delapan Luak Jelebu, Buapak, Ibu Soko dan Anak Waris.

Pengisytiharan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 disahkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 18 Februari lalu.

Pada 4 April lalu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menyempurnakan Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu ke-16, di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Maarof menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Musa Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 11 September 2014.

Dalam struktur pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin mempunyai fungsi kuasa mutlak di luak atau kawasan masing-masing. - Bernama