Bahagi masa kerja, jaga anak

Bapa tunggal tabah pikul tanggungjawab tanpa isteri di sisi

Zulkepli (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Anuar (kanan) di rumah Jamilah di Kampung Batu Balai Isnin lalu.
Zulkepli (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Anuar (kanan) di rumah Jamilah di Kampung Batu Balai Isnin lalu.
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang bapa dari Kampung Batu Balai di sini tabah menjaga empat anak termasuk anak sulung yang mengalami keretakan tulang akibat kemalangan meragut nyawa isterinya Ramadan lalu.

Anuar Ismail, 47, berkata, selepas pemergian isteri, Hasiah Abdullah, 43, dia mengambil alih tugas menjaga empat anak mereka terutamanya, Ana Asyidar, 15, yang memerlukan perhatian sepenuhnya.

Menurutnya, selepas kemalangan itu, Ana Asyidar yang juga calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kuala Krai hanya terlantar dan sudah hampir dua bulan tidak ke sekolah.

"Selepas kemalangan itu saya tidak bekerja hampir dua bulan sebab terpaksa menumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anak yang baru kehilangan ibu.

"Ketika itu saya hanya mengharapkan sumbangan keluarga serta orang ramai untuk menyara anak-anaknya di samping menggunakan wang simpanan," katanya.

Anuar berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengerusi Yayasan Amal Datuk Zul Wisma, Datuk Dr Zulkepli Mohamad yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 serta barangan keperluan harian Isnin lalu.

Katanya, dia bersyukur kerana adik-beradik dan saudara maranya banyak membantu.

"Ketika saya keluar bekerja kakak, Jamilah Ismail yang jaga Ana Asyidar, anak-anak yang balik dari sekolah juga makan minum di rumah kakak. Boleh dikatakan sepanjang hari anak berada di sini, cuma tidur sahaja di rumah kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anuar berkata, kini dia kembali bekerja namun hanya sekitar kawasan rumah bagi memudahkannya pulang jika diperlukan.

"Mudah untuk saya balik kalau Ana Asyidar buang air besar sebab saya perlu uruskan dia kemudian keluar semula untuk sambung kerja.

"Tiga anak lagi yang masih sekolah juga perlu dihantar dan diambil dari sekolah," katanya

Dia berkata, selepas lebih dua bulan terlantar, tahap kesihatan anak sulungnya itu menunjukkan perkembangan positif.

"Jika sebelum ini Ana Asyidar hanya baring di katil, sekarang dia dah boleh bangun walaupun sekejap dan ini cukup menggembirakan kami.

"Bulan depan dia akan menduduki peperiksaan PT3 dan saya harap hasratnya tercapai. Biarpun hanya baring di katil, dia nampaknya tetap bersemangat menduduki peperiksaan," katanya yang akan membawa anak sulungnya menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Krai dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Zulkepli berkata, beliau kagum dengan semangat Ana Asyidar yang gigih belajar dalam keadaan baring untuk menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

"Saya mendoakan Ana Asyidar berjaya dalam peperiksaan dan mengalu-alukan semua pihak termasuk jabatan berkaitan bersama-sama membantu keluarga ini," katanya.