X

Kindly register in order to view this article
!

Remaja selamatkan empat adik, abang daripada rentung

Mahusin Hassan (kanan) sedang mendapatkan maklumat daripada Aliah Ismail (kiri) di tapak kebakaran di Kampung Tebing Tinggi, Sabak.
A
A

KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 14 tahun bertindak berani menyelamatkan empat adik dan seorang abangnya daripada rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tebing Tinggi, Sabak di sini semalam.

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu menyebabkan menyebabkan abangnya, Ibrahim Ismail, 32, melecur di bahagian kaki kiri, pergelangan tangan kanan dan leher manakala remaja terbabit, Aliah Ismail bersama adik yang berusia 4 sehingga 13 tahun tidak cedera.

Kebakaran turut mengakibatkan rumah sewa yang didiami mereka sekeluarga musnah bersama sebuah motosikal yang diletakkan di bahagian dapur.

Aliah berkata, dia menyedari kejadian kebakaran itu selepas pergi ke ruang dapur untuk melihat nasi yang ditanak Ibrahim yang ketika itu membasuh baju di dalam bilik air.

Menurutnya, apabila tiba di dapur, dia melihat percikan api yang jatuh pada tong gas di dapur tersebut menyebabkan dia mendapatkan keempat-empat adiknya yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.

“Saya membawa adik-adik keluar dari rumah ke tempat selamat tapi lepas teringat abang yang sedang dalam bahaya menyebabkan saya masuk semula ke dalam dan mendapatkannya yang berada di dalam bilik air.

“Api merebak terlalu cepat menyebabkan abang mengalami kecederaan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Aliah berkata, Ibrahim kemudian di bawah ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) oleh anggota bomba dan ketika kejadian ibu mereka idak berada di rumah kerana keluar bekerja.

“Saya segera hubungi ibu untuk beritahu apa yang berlaku. Kami ialah warga Thai yang baru sebulan lebih menyewa di sini.

“Kejadian terlalu pantas menyebabkan saya tak dapat menyelamatkan semua dokumen penting termasuk pasport dan dokumen perjalanan kami tapi saya bersyukur kami enam beradik terselamat dalam kebakaran ini,” katanya.

Katanya, sementara waktu mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah sepupu yang tinggal berhampiran.

Sementara itu, ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Penguasa Bomba Kanan II Mahusin Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.10 malam dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.

“Ketika tiba di lokasi mendapati rumah yang didiami dua keluarga ini sudah terbakar 80 peratus dan bomba bertindak pantas mengawal kebakaran serta dapat menyelamatkan dua rumah berhampiran daripada terbakar.

“Pasukan bomba membabitkan 16 anggota BBP Pengkalan Chepa dan Kota Baharu berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 20 minit. Punca kebakaran dan kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!