Mat rempit dibawa ke masjid

Seramai 33 remaja lelaki ini merupakan kumpulan mat rempit kedua yang dibawa ke masjid selepas kumpulan pertama pada 27 Julai lalu.
Seramai 33 remaja lelaki ini merupakan kumpulan mat rempit kedua yang dibawa ke masjid selepas kumpulan pertama pada 27 Julai lalu.
A
A
A

KEMAMAN - Pendekatan kerohanian terus diguna pakai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman apabila seramai 33 mat rempit beragama Islam yang ditahan kerana berlumba haram dibawa ke Masjid Sultan Ahmad, Chukai, pagi tadi.

Kesemua mat rempit yang baharu berusia belasan tahun itu kemudiannya menunaikan solat Subuh berjemaah, membaca surah Yassin dan tahlil serta mendengar tazkirah dari imam masjid yang bertugas sebaik tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 5.50 pagi.

Mereka merupakan kumpulan kedua mat rempit yang dibawa ke masjid itu selepas buat pertama kalinya di negara ini seramai 79 mat rempit yang ditahan IPD Kemaman dibawa ke masjid untuk beribadat pada Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kesemua 33 penunggang motosikal itu ditahan pada Ops Samseng Jalanan dan Ops Khas Bersepadu Motosikal IPD Kemaman yang dijalankan mulai jam 8 malam hingga 5 pagi tadi.

Katanya, operasi itu dilakukan di Kilometer 119 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Rantau Petronas berdekatan pusat beli belah Mesra Mall yang dijadikan sebagai litar lumba oleh kumpulan mat rempit.

Mat rempit yang ditahan membaca Yassin bersama jemaah Masjid Sultan Ahmad yang lain selepas selesai menunaikan solat Subuh berjemaah pagi tadi.
Mat rempit yang ditahan membaca Yassin bersama jemaah Masjid Sultan Ahmad yang lain selepas selesai menunaikan solat Subuh berjemaah pagi tadi.

"Kali kedua operasi ini dijalankan kita turut bawa penunggang motosikal yang ditahan ke masjid sebagai meneruskan pendekatan mendidik secara kerohanian.

Artikel Berkaitan:

"Pendekatan begini lebih memberi sentuhan yang mendalam agar mereka sedar bahawa perbuatan berlumba haram ditegah agama kerana bukan sahaja membahayakan nyawa mereka tetapi turut mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Pendekatan kerohanian itu mula diperkenalkan IPD Kemaman pada 27 Julai lalu selepas 79 mat rempit dibawa ke masjid sebelum mereka menunaikan solat Subuh berjemaah, membaca Yassin dan mendengar tazkirah.

Gambar kesemua mat rempit ketika di masjid juga turut tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp serta mendapat pujian netizen kerana ia dilihat sebagai satu inisiatif berkesan untuk mengubah mat rempit.

Malahan, pendekatan baharu yang dilakukan IPD Kemaman itu turut mendapat pujian Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mohd Said berkata, operasi itu dilakukan dengan kekuatan seramai 51 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah dan Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Daerah.

Turut terlibat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Balai Polis (BP) Chukai, BP Ayer Jerneh dan BP Kerteh.

Menurutnya, pada operasi itu, seramai 40 individu diperiksa dan dilakukan 37 pemeriksaan kenderaan melibatkan 34 motosikal dan tiga buah kereta.

Kata beliau, hasil pemeriksaan itu sebanyak 104 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar, tidak patuh arahan polis, melanggar lampu isyarat dan mengubahsuai ekzos.

"Selain itu kita turut menyita sebanyak 34 buah motosikal dan menahan empat individu di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan melakukan aksi berbahaya.

"Turut ditahan dua lelaki kerana didapati positif metaphetamine selepas ujian saringan air kencing dilakukan," katanya lagi.