Lelaki dipenjara, sebat kerana menyamun

Tertuduh, Zamri hari ini didapati bersalah melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau bersama-sama dua lagi yang masih bebas, dua tahun lalu.
Tertuduh, Zamri hari ini didapati bersalah melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau bersama-sama dua lagi yang masih bebas, dua tahun lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini memerintahkan seorang lelaki menjalani hukuman sembilan tahun penjara dan empat sebatan selepas didapati bersalah merompak RM250 milik seorang peniaga dengan bersenjatakan pisau.

Hakim Wan Azimah Yaacob yang membuat keputusan itu turut memerintahkan supaya hukuman penjara terhadap tertuduh, Zamri Awang, 37, berjalan bermula dari tarikh tangkap iaitu 9 April 2018.

Dia didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersama dua yang masih bebas ke atas Ahmad Firdaus Adnan, 33, melibatkan kerugian wang tunai RM250 di hadapan stesen minyak di Padang Midin di sini kira-kira jam 3.30 pagi pada 13 Julai 2017.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang baru pulang daripada berniaga dengan memandu sebuah van ditahan tiga lelaki termasuk tertuduh yang dikenali mangsa di hadapan sebuah stesen minyak.

Sebaik memberhentikan van dipandu, tertuduh meletakkan pisau di leher lalu meminta wang RM300 sebelum mangsa memberi RM250.

Tertuduh turut mengugut akan mencari mangsa sekiranya mangsa membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan: