PPM rampas rokok seludup bernilai lebih RM178,000

Paul (dua dari kanan) meneliti rokok seludup yang dirampas dalam serbuan malam tadi. - Foto PPM Wilayah 2
Paul (dua dari kanan) meneliti rokok seludup yang dirampas dalam serbuan malam tadi. - Foto PPM Wilayah 2
A
A
A

PONTIAN - Polis merampas 1,350 karton rokok haram dianggarkan bernilai RM178,890 di sebuah stor simpanan dekat Kampung Permatang Duku, Benut malam tadi.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, stor penyimpanan itu dipercayai stor aktif untuk daerah Pontian.

"Pemeriksaan di dalam premis menemui sejumlah kotak-kotak berwarna coklat dan berlabel dipercayai rokok tidak sah dari jenis rokok putih dan kretek.

"Kesemua 1,350 karton rokok putih dan kretek ditemui itu dianggarkan bernilai RM178,890 termasuk cukai," katanya

Pihaknya juga mengesyaki rokok tidak sah itu diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

"Serbuan dibuat di premis itu jam 8.15 malam tadi dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang dipercayai pemilik premis tersebut.

"Dipercayai rokok ini diseludup dari negara jiran dan untuk pasaran tempatan manakala stor itu merupakan antara stor yang aktif bagi daerah Pontian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Markas PPM Wilayah 2, Tampoi.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, PPM sentiasa komited dalam menangani isu pengedaran dan penjualan rokok tidak sah di pasaran.

"Kita akan meneruskan operasi-operasi terhadap rangkaian penjualan dan pengedaran rokok tidak sah di Johor," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.