Penuntut IPTA rugi RM31,500, barang kemas tergadai

Hamdan
Hamdan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam, di sini, berputih mata apabila kerugian RM31,500 selepas terperangkap helah sindiket penipuan sejak Jun lalu.

Bukan itu sahaja, penuntut wanita, 21, itu turut kehilangan semua barang kemas miliknya selepas digadaikan kerana tidak mempunyai wang untuk membayar 'cukai Kastam' ke atas barang dikirimkan oleh individu tidak dikenali seperti diarahkan.

Kejadian berlaku selepas mangsa dari Perak menerima satu mesej melalui akaun Instragram yang dihantar oleh seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai 'James', kira-kira jam 6.45 petang, 23 Jun lalu.

Menurut sumber, mesej itu memberitahu mangsa perlu membayar RM3,500 untuk cukai kastam ke atas barangan yang dikirim oleh seseorang sebelum memberi nombor akaun bank untuk urusan pembayaran.

Katanya, bagaimanapun mangsa memaklumkan yang tidak ada wang dan hanya mempunyai RM1,000 namun lelaki tidak dikenali itu memberitahu sekiranya gagal membuat pembayaran, dia akan ditangkap pihak berkuasa.

"Disebabkan terlalu takut, mangsa terus membuat pembayaran melalui pemindahan wang atas talian sebanyak RM1,000 ke akaun bank diberikan.

"Dua minggu kemudian, mangsa dihubungi lelaki sama melalui talian WhatsApp dan mengarahkan agar menjelaskan baki yang masih ada.

"Mangsa yang tiada wang mengambil keputusan menggadai barang kemas yang ada di kedai pajak gadai sebelum memasukkan baki ke dalam akaun bank sama sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sumber berkata, masih tidak cukup, hari sama, mangsa diminta membayar RM1,500 lagi dengan alasan kos penghantaran barang dan sekali lagi mangsa menggadaikan barang kemasnya kerana tiada wang.

"Selepas membuat pembayaran, 'James' memaksa mangsa membuat pembayaran lagi kononnya barang yang dikirimkan itu dikesan berisi sejumlah wang yang banyak.

"Mangsa yang teruja mendengarnya terus pergi ke kedai pajak gadai dan menggadaikan barang kemas miliknya yang masih ada sebelum memasukkan wang diminta ke dalam akaun sama tanpa sebarang keraguan," katanya.

Jelas sumber lagi, meskipun sudah membuat pembayaran diminta, barang mangsa masih tidak dapat diserahkan kerana 'James' sekali lagi memberi alasan yang pihak berkuasa mendapati di dalam kotak dikirimkan itu sebenarnya dadah bukan duit seperti dimaklumkan sebelum ini.

Kata sumber, justeru itu bagi mengelak ditangkap, mangsa diminta membuat pembayaran lagi dan memasukkan duit berkenaan ke dalam akaun bank sama.

"Akibat terlalu takut dan terkejut, mangsa sekali lagi akur dan pergi menggadaikan baki barang kemas yang ada sebelum memasukkan wang diminta.

"Setelah barang kemasnya habis digadaikan, baharulah mangsa tersedar dirinya sudah ditipu sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat pada 14 Ogos lalu.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.