Kompleks Japerun Taboh Naning dipecah masuk

Keadaan pejabat di Kompleks Japerun Taboh Naning yang berselerak selepas dipecah masuk pencuri. (Gambar kecil: Zairi)
Keadaan pejabat di Kompleks Japerun Taboh Naning yang berselerak selepas dipecah masuk pencuri. (Gambar kecil: Zairi)
A
A
A

ALOR GAJAH - Kakitangan Kompleks Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Taboh Naning, Simpang Ampat di sini terkejut apabila mendapati ruang pejabat bangunan tersebut berselerak setelah dipecah masuk pencuri.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Zairi Suboh berkata, kejadian itu disedari sekitar jam 8 pagi semalam sebaik sahaja masuk ke bangunan tersebut untuk memulakan tugas seperti biasa.

Menurutnya, pencuri dipercayai menceroboh masuk dengan mengumpil tingkap dan memotong jeriji besi sebelum melarikan seunit komputer riba, seunit telefon bimbit dan sebalang duit syiling dengan anggaran kerugian berjumlah RM2,000.

"Kejadian disedari dua kakitangan Japerun yang mendapati bahagian pejabat berselerak dan pelbagai barangan telah dilarikan penjenayah. Kita telah membuat laporan di Balai Polis Simpang Ampat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Penjenayah dipercayai masuk melalui tingkap yang telah diumpil.
Penjenayah dipercayai masuk melalui tingkap yang telah diumpil.

Tambah Zairi, penjenayah turut meninggalkan sekeping nota tertulis perkataan "Maafi ya bersepah Rohingya" yang ditampal pada dinding di atas jeriji tingkap bagi mengelirukan semua pihak.

"Selain pejabat kami, tadika Jabatan Agama Islam Melaka yang terletak dalam kawasan kompleks dan Pusat Anak Permata Negara Taboh Naning bersebelahan bangunan tersebut turut dipecah masuk serta mengalami kerugian akibat beberapa barang dilarikan pencuri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: