PKMD Klang cari waris tiga bayi

Zaara (kiri), Ziyaad dan Nur Fazira Hanim
Zaara (kiri), Ziyaad dan Nur Fazira Hanim
A
A
A

KLANG - [DIKEMASKINI] Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Klang meminta ibu kandung atau waris kepada tiga bayi tampil bagi urusan dokumen dan penempatan kanak-kanak itu kelak.

Pelindung PKMD Klang, Zaidi Zakaria berkata, bayi bernama Ziyaad berusia empat bulan dimasukkan ke Wad L4 SCN Kompleks Rawatan Ibu dan anak, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada 4 April lalu bagi menerima rawatan perubatan.

Menurutnya, sejak berada di wad berkenaan ibu kandung Ziyaad seorang warga Indonesia dikenali sebagai Khairul Akmal tidak pernah datang melawatnya dan gagal dihubungi sehingga kini.

“Ibu kandungnya melahirkan anak kembar, adik kembar kepada Ziyaad dibawa pulang namun kanak-kanak itu ditinggalkan.

“Kes ditakrif di bawah Seksyen 17 (1) (e) Akta Kanak-kanak 2001 kerana dipercayai dibuang ibu atau bapa atau penjaganya,” katanya.

Seorang lagi bayi bernama Zaara dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), HTAR selepas dilahirkan secara pembedahan pada 28 Mac lalu.

Katanya, ibu kandung Zaara yang merupakan warga Indonesia berada dalam keadaan koma setelah melahirkan dan dilapor meninggal dunia pada 5 Ogos lalu.

“Sebelum ini kes dirujuk ke Kedutaan Indonesia namun masih tiada maklum balas yang diterima.

Artikel Berkaitan:

“Kini kes ini ditakrif di bawah Seksyen 17 (1) (e) (i) Akta Kanak-kanak 2001 kerana kanak-kanak tidak mempunyai ibu atau bapa atau penjaga,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi kanak-kanak bernama Nur Fazira Hanim Abdullah bersama ibunya diselamatkan pihak polis pada 4 Julai lalu selepas didapati berada dalam keadaan tidak terurus, mengganggu orang awam dan hidup secara gelandangan.

Menurutnya, ibu kandung dihantar menjalani rawatan di klinik psikiatri manakala bayi berusia sembilan bulan itu dimasukkan ke HTAR bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Hasil semakan, ibu kandung bernama Ikhti Syam Azmi, 35, dan alamat terakhirnya di Kampung Keda Che Bema, Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah telah menghilangkan diri.

“Ibu kandung juga tidak pernah ke hospital melawat anaknya,” katanya.

Sehubungan itu, mereka yang mempunyai maklumat berhubung ketiga-tiga bayi berkenaan diminta menghubungi Zaidi di talian 03-33413703 sambungan 359.