Suspek kes Syed Muhammad Danial dituduh esok

Paparan skrin video yang tular di media sosial.
Paparan skrin video yang tular di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Suspek kes kemalangan membabitkan kematian Syed Mohammad Danial Syed Syakir akan dituduh esok di Mahkamah Sesyen Kajang.

Timbalan Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek lelaki berusia 40 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Timbalan Pendakwa Raya telah bersetuju untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 1.40 petang, 10 Ogos lalu, Syed Muhammad Danial, 29, maut setelah berlaku perselisihan faham dengan seorang lelaki dalam kemalangan kecil di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara-Selatan.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku akibat kemalangan kecil berhampiran susur Bandar Baru Bangi selepas kereta mangsa melanggar bahagian belakang kereta suspek.

ARTIKEL BERKAITAN: Kertas siasatan kes Syed Muhammad Danial diserah kepada DPP

Kedua-dua pemandu kemudian berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi sebelum berlaku pergaduhan, tetapi pengguna lebuh raya yang lain berjaya meleraikan pergaduhan itu dan kedua-dua pemandu balik ke kenderaan masing-masing.

Bagaimanapun, mangsa yang dipercayai tidak berpuas hati telah keluar dari kereta dengan membawa sebatang kayu besbol dan terus memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Suspek kemudian memandu keretanya ke hadapan dalam keadaan tergesa-gesa dan terlanggar mangsa sehingga menyebabkan mangsa tersepit di antara kereta dan penghadang jalan.

Artikel Berkaitan:

Mangsa kemudian dibawa ke Nilai Medical Centre namun disahkan meninggal dunia semasa dirawat.

Berikutan itu sepasang suami isteri, masing-masing berumur 40 dan lewat 30-an direman bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.