Aura kemerdekaan masih terasa

A
A
A

JOM RELAKS

SEJARAH kemerdekaan negara sangat panjang. Ia melewati semangat juang pemimpin tersohor yang mencurahkan kudrat membebaskan tanah air daripada penjajah hinggalah kepada tinggalan artifak-artifak yang bernilai.

Bagi mengimbau kembali sejarah silam, apa kata kita menyambut sambutan hari merdeka dengan bercuti di hotel-hotel bersejarah yang boleh memberikan kita sedikit gambaran tentang kehidupan pada era dulu seperti dicadangkan Agoda, platform percutian digital yang paling berkembang maju di dunia.

Berikut ialah beberapa hotel yang dicadangkan untuk dikunjungi sepanjang bulan Ogos ini:

1. Hotel Federal, Kuala Lumpur

HOTEL Federal.
HOTEL Federal.

Menjelang hari penting negara, hotel tersebut pasti akan terbayang dalam fikiran. Dikenali sebagai hotel yang melaungkan kata keramat ‘Merdeka!’ pada hari bersejarah tersebut, pada 31 Ogos ini, hotel itu bukan sekadar sebuah hotel, malah merupakan sebahagian daripada sejarah dan warisan negara Malaysia.

Menyingkap sejarah, lokasinya yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur di kawasan Bukit Bintang telah menjadikannya sebagai hotel bertaraf antarabangsa yang pertama di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod, Hotel Federal dibuka tiga hari sebelum pengisytiharan kemerdekaan negara.

Pembukaan hotel itu tepat pada masanya bagi menyaksi dan menandakan detik bersejarah Persekutuan Tanah Melayu dikembalikan kepada rakyatnya oleh pihak British.

Tetamu terawal yang menginap di hotel berkenaan terdiri daripada orang-orang kenamaan asing yang hadir untuk menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.

2. Hotel Majestic, Kuala Lumpur

HOTEL Majestic.
HOTEL Majestic.

**

Ia merupakan antara hotel yang terhebat pada zaman era 1930-an dan telah diwartakan sebagai sebuah tapak wariasan kebangsaan.

Sebelum Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada pihak British, hotel tersebut merupakan sebuah ikon zaman kegemilangan Malaya sebelum Perang Dunia Kedua.

Ia bukan sahaja digunakan untuk majlis keramaian penuh glamor dan resepsi kerajaan, malah turut dijadikan tempat penginapan tetamu kenamaan antarabangsa.

Di hotel itu juga, mesyuarat pertama yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kerajaan telah diadakan untuk menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya, sebuah parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu.

3. Hotel Eastern & Oriental, Pulau Pinang

HOTEL Eastern & Oriental.
HOTEL Eastern & Oriental.

Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai Pulau Mutiara telah dikenali sebagai pusat perdagangan British yang pertama di Timur yang pernah menjadi tumpuan pedagang dan pelaut sebelum kemerdekaan negara.

Beroperasi lebih daripada 100 tahun, Hotel Eastern & Oriental telah menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah. Antaranya ialah dua Perang Dunia, zaman kegemilangan Empayar British dan kelahiran negara Malaysia yang berdaulat. Walaupun ia telah banyak melalui perubahan masa, hotel berkenaan masih mengekalkan pesona aslinya yang tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.

4. Hotel Muntri Grove, Pulau Pinang

HOTEL Muntri Grove.
HOTEL Muntri Grove.



Apa kata imbau memori zaman dahulu kala di hotel di Pulau Pinang yang pada asalnya merupakan kuarters penginapan orang gaji kepada keluarga-keluarga berada pada abad ke-19.

Pada masa itu, ia adalah sebuah bangunan sederhana yang berbumbung rendah dan mempunyai ruang penginapan yang kecil dengan hanya dua bilik di dalam setiap unit.

Hotel itu masih menggambarkan pengaruh British yang halus dari zaman ia dibina. Walaupun ia telah dibaik pulih pada tahun 2013, rangka seni bina asal bangunan telah dikekalkan untuk memelihara keasliannya.

Premis hebat itu mempunyai kisah lampau yang unik yang mana sebahagian bangunan telah dimusnahkan dalam Perang Dunia Kedua. Bahagian yang rosak telah dibina semula untuk di jadikan kolam renang dan kawasan meyambut tetamu.

5. Hotel Gingerflower Boutique, Melaka

HOTEL Gingerflower Boutique.
HOTEL Gingerflower Boutique.

Jelajah pesisiran pantai di Melaka dengan menginap di Hotel Gingerflower Boutique yang pada asalnya merupakan sebuah rumah bandar peranakan yang telah dibaik pulih dengan menarik.

Hotel itu dilindungi sebagai Warisan Dunia UNESCO dan menawarkan pengalaman budaya dan seni bina abad ke-19 kepada para tetamunya.

Seni bina hotel merupakan salah satu peninggalan unik dari era 'Timur bertemu Barat' yang menggandingkan dua budaya yang berbeza iaitu Belanda dan peranakan.

Sebuah telaga yang menjadi satu-satunya sumber air kepada penghuni-penghuni rumah dan penting bagi kehidupan peranakan pada zaman dahulu masih dipelihara dalam keadaan asal sehingga sekarang.