Huawei tolak keputusan AS tangguh larangan

Penangguhan larangan ke atas Huawei itu dibuat kali kedua oleh AS.
Penangguhan larangan ke atas Huawei itu dibuat kali kedua oleh AS.
A
A
A

BEIJING - Huawei semalam menolak keputusan Washington menangguhkan selama tiga bulan larangan ke atas syarikat Amerika Syarikat (AS) yang menjalankan urusniaga dengan firma teknologi gergasi dari China.

Jabatan Perdagangan AS secara efektif membuat penangguhan itu untuk kali kedua terhadap peraturan ketat itu yang menghalang jualan komponen dan perkhidmatan kepada Huawei serta membeli peralatan daripada mereka.

Ia juga menyatakan 46 syarikat lain akan dimasukkan dalam senarai anak syarikat dan sekutu Huawei yang akan turut berdepan larangan tersebut jika ia dilaksanakan sepenuhnya, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah lebih 100 entiti.

Larangan asal itu diumumkan pada awal tahun lalu oleh pihak berkuasa AS selepas ia mendakwa Huawei menyediakan 'pintu belakang' untuk perkhidmatan risikan China, namun dinafikan syarikat terbabit.

"Jelas sekali keputusan tersebut bermotifkan politik dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan negara," jelas Huawei dalam satu kenyataan dan turut mendakwa ia melanggar prinsip asas persaingan pasaran bebas.

Menurutnya, percubaan untuk menindas perniagaan Huawei tidak akan membantu AS mencapai kepimpinan teknologi.

"Tempoh lanjutan Lesen Umum Sementara itu tidak akan mengubah kenyataan bahawa kami dilayan secara tidak adil," tegas Huawei lagi.

Keputusan tersebut membolehkan Huawei membeli komponen dan bahan penting lain buatan AS untuk telefon dan peralatan rangkaiannya serta firma telekomunikasi di Washington boleh terus membeli peralatan rangkaian milik mereka. - AFP

Artikel Berkaitan: