Rugi RM40,000 ditipu 'Datuk Wong'

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Bimbang dipenjarakan kerana didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dan dadah, seorang peniaga kerugian RM40,000 apabila diperdaya sindiket Macau Scam menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kejadian Isnin lalu, mangsa yang berumur 48 tahun menerima panggilan daripada Mahkamah Terengganu yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kredit sebanyak RM10,000.

Menurutnya, talian mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Firdaus.

"Suspek kedua mendakwa hasil semakan kononnya mangsa juga terbabit dengan pengubahan wang haram dan dadah.

"Panggilan berkenaan kemudian disambung kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Datuk Wong' bagi membuat rayuan atas kes yang disabitkan kepada mangsa," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, 'Datuk Wong' memaklumkan mangsa perlu membuat laporan polis secara atas talian dan memindahkan wang di dalam akaun bank untuk pemantauan Bank Negara Malaysia.

"Mangsa yang mempercayai dakwaan berkenaan kemudian memindahkan wang sebanyak RM40,000 ke akaun di atas nama Rafudah Abdul Rahman

“Selepas memindahkan semua wang berkenaan, mangsa diminta untuk memasukan lagi wang berjumlah RM5,000 namun mangsa enggan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang pengasuh kerugian RM1,600 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan seorang wanita yang menyamar kenalannya Febuari lalu

Menurutnya, mangsa didatangi wanita tersebut yang menyatakan rakan mangsa ingin meminjam wang bagi menyelesaikan pinjaman peribadi dengan Tekun.

"Mangsa yang mempercayainya telah memberikan wang berjumlah RM1,600 kepada suspek namun pada 12 Ogos lalu, mangsa telah berjumpa dengan rakannya untuk meminta wangnya semula.

"Namun rakannya menafikan dakwaan itu dan mangsa berjumpa semula dengan suspek dan suspek mengaku dia menyamar mengenali rakannya hanya untuk meminjam wang.

"Kes pertama disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu manakala kes kedua disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan," katanya