X

Kindly register in order to view this article
!

A
A

KADANGKALA sesuatu yang paling kecil boleh mempengaruhi struktur yang jauh lebih besar.

Sebagai contoh, kelenjar tiroid. Kelenjar berbentuk rama-rama yang terletak di hadapan leher berfungsi merembeskan hormon tiroid.

Hormon itu memainkan peranan penting dalam tumbesaran, perkembangan dan metabolisme badan yang turut menentukan kadar fungsi organ di dalam badan.

Bagaimanapun, apa yang akan berlaku jika kelenjar tiroid tidak dapat menghasilkan tahap hormon optimum yang diperlukan oleh badan? Apakah kesannya pada organ dalaman seperti jantung kita?

TIROID boleh mempengaruhi jantung menerusi reseptor hormon tiroid pada otot jantung dan salur darah.
TIROID boleh mempengaruhi jantung menerusi reseptor hormon tiroid pada otot jantung dan salur darah.

Terlebih dahulu, apakah hipertiroidisme dan hipotiroidisme? Apabila terdapat gangguan fungsi tiroid, suhu dan berat badan, pembuangan air, saraf, otot dan banyak lagi fungsi badan akan terjejas. Kesannya berbeza-beza bergantung sama ada terdapat lebihan atau kekurangan hormon tiroid.

Hipertiroidisme merujuk kepada keadaan yang mana kelenjar tiroid adalah terlebih aktif, menghasilkan lebih banyak hormon tiroid daripada yang diperlukan oleh badan.

Juga dikenali sebagai tirotoksikosis, ia menyebabkan individu yang mengalami keadaan tersebut berpeluh secara berlebihan, tidak tahan panas dan kehilangan berat badan, selain beberapa tanda dan gejala lain. Itu mengakibatkan organ pesakit hipertiroidik untuk bekerja pada kadar yang lebih pantas.

Dalam hipertiroidisme, kelenjar tiroid kurang aktif menghasilkan hormon tiroid yang tidak mencukupi untuk badan. Individu yang mengalami keadaan itu mungkin mendapati mereka rata-rata berasa lesu, tidak tahan suhu dingin, mengalami otot dan sendi yang sakit dan terasa kembung selain daripada tanda dan gejala lain.

Oleh itu, organ penghidap hipotiroidisme akan berfungsi pada kadar yang lebih perlahan. Walaupun terdapat pelbagai punca, umpamanya kesan ubat tertentu, punca paling umum ialah masalah autoimun.

Dalam kes hipertiroidisme, ia disebabkan penyakit Graves manakala bagi hipotiroidisme, berpunca daripada penyakit Hashimoto.

Hormon tiroid dan jantung Jadi apakah hubung kait antara gangguan itu dengan jantung?

Dua masalah tiroid itu boleh mempengaruhi jantung menerusi reseptor hormon tiroid pada otot jantung dan salur darah.

Hormon tiroid boleh meningkatkan daya pengecutan otot dan juga meningkatkan kadar jantung. Hormon itu juga bertanggungjawab mempengaruhi output jantung dan tekanan arteri dengan mengurangkan ketegangan salur darah.

Selain itu, hormon turut merangsang sistem hormon renin-angiotensin yang memainkan peranan mengawal isi padu darah dan menyerap semula natrium pada buah pinggang. Itu menyebabkan peningkatan dalam isipadu plasma darah dan akan meningkatkan output kerja jantung.

Justeru, sebarang peningkatan atau pengurangan hormon tiroid secara jangka panjang akan menjejaskan jantung, mencetus masalah kardiovaskular baharu kepada pesakit atau memburukkan lagi masalah jantung sedia ada.

KELENJAR tiroid manusia.
KELENJAR tiroid manusia.

Gejala dan tanda yang menunjukkan pesakit hipertiroidik mengalami masalah jantung akan menjadi lebih ketara apabila pesakit mengalamai kondisi seperti berikut:

Palpitasi (jantung berdebar).

Jantung berdenyut laju.

Sakit dada.

Sesak nafas.

Tekanan darah lebih tinggi pada paru-paru.

Bengkak pada kaki.Disebabkan jantung hipertiroidik perlu bekerja lebih keras, jantung akhirnya akan mengalami kardiomiopati (penyakit otot jantung) jika tidak dirawat.

Tanda dan gejala hipotiroidisme adalah tidak begitu ketara berbanding hipertiroidisme. Pun begitu, terdapat simptom serupa iaitu pesakit akan mengalami sesak nafas, bengkak kaki dan sakit dada apabila melakukan kerja lebih berat.

Pesakit yang mengalami keadaan itu juga mungkin menghadapi efusi perikardium, pengumpulan bendalir dalam pelapik jantung.

Penghidap hipotiroidisme mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami penyakit kardiovaskular seperti penyakit arteri koronari dan strok.

Hal itu kerana paras kolesterol LDL atau jahat lebih tinggi, peningkatan ketebalan salur darah karotid dan hipertensi yang semuanya merupakan faktor risiko diketahui bagi penyakit kardiovaskular.

Pengurusan dan rawatan Pesakit yang membuat rawatan awal kesan sampingan ke atas jantung masih boleh dipulihkan.

Antaranya pesakit yang mengambil ubat tertentu mengandungi iodin seperti amiodarone seharusnya memerhatikan secara rutin dan membincangkan gejala mereka dengan doktor kerana ubat-ubat itu boleh mengundang masalah tiroid.

Pesakit yang mengalami hipertiroidisme teruk juga dinasihatkan untuk melakukan senaman atau aktiviti fizikal lebih ringan sehingga keadaan mereka terkawal.

Penghidap hipotiroidisme perlu memastikan bahawa ubat levotiroxine diambil sekurang-kurangnya setengah jam sebelum sarapan.

Selain ubat, pengurusan gaya hidup yang baik perlu dilakukan secara serentak oleh pesakit jantung. Dengan berbuat demikian, ia mengurangkan kesan penyakit tiroid ke atas kesihatan mereka.

Pesakit yang mengalami kegagalan jantung diminta mengehadkan pengambilan cecair harian, mengurangkan pengambilan garam dan mereka yang mempunyai denyutan jantung pantas agar mengurangkan pengambilan kopi.

Di Malaysia, kelaziman hipertiroidisme berasaskan kajian yang dilakukan ialah 3.4 peratus penduduk yang disahkan menghidap hipertiroidisme dan 2.1 peratus mengalami hipothroidusme.

PESAKIT yang mendapatkan rawatan awal masih berpeluang untuk sembuh.
PESAKIT yang mendapatkan rawatan awal masih berpeluang untuk sembuh.

Bagaimanapun, persoalan sebenar ialah berapa ramai individu dengan keadaan itu yang tidak diagnosis?

Tambahan lagi memandangkan kes penyakit jantung yang semakin meningkat, implikasinya agak membimbangkan terutamanya apabila dilihat dalam jangka panjang.

Gangguan tiroid yang tidak disahkan berpotensi berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih membahayakan dan kronik. Pada waktu itu kesannya terhadap jantung dan organ lain tidak

boleh dibalikkan lagi. Justeru, menjalani pemeriksaan berkala merupakan satu langkah bijak untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan kita berada pada tahap optimum.

Wanita, warga emas lebih terdedah kepada risiko

PAKAR Perubatan Keluarga merangkap Pensyarah Kanan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Dr Mohazmi Mohamed berkata, situasi yang mana kelenjar tiroid tidak dapat menghasilkan tahap hormon optimum sangat jarang berlaku.

Ujar Dr Mohazmi, ia sukar dikesan lantaran simptomnya yang tidak berapa jelas dan tidak spesifik berbanding dengan kes hormon tiroid yang berlebihan. Oleh sebab itu, ia kerap terlepas pandang ketika didiagnosis.

DR MOHAZMI
DR MOHAZMI

"Bagaimanapun penyakit itu lebih kerap berlaku kepada wanita dan orang tua. Penghasilan hormon tiroid sepatutnya penting kepada semua peringkat usia untuk mengawal semua fungsi tubuh badan daripada fungsi seksual hinggalah mental.

"Namun jika berlaku masalah hipotiroidisme, ia boleh memberi kesan penyakit dalaman selain jantung seperti pemikiran lembab, kemurungan, sembelit, haid berlebihan dan boleh menyebabkan kemandulan," katanya kepada Sihat:Aktif.

Menurutnya, bagi masalah hipertiroidsime, pesakit boleh menghadapi penyakit cepat cemas, bernafas laju, cirit birit, kurang haid, mata tersembul, tulang rapuh, otot menjadi lemah dan tangan sering menggeletar.

Terang Dr Mohazmi lagi, penyakit tiroid tidak semudah dihidapi berbanding penyakit batuk atau selesema.

Antara punca penyakit tiroid adalah kekurangan iodin, masalah genetik autoimun, jangkitan virus dan kanser.

Penyakit hipertiroidsime boleh sembuh setelah pesakit mendapat rawatan selama dua tahun. Pun demikian, jika pesakit berhenti rawatan lebih awal, mereka berisiko untuk mendapat penyakit itu kembali.

Berlainan pula bagi pesakit hipotiroidisme, pesakit akan berterusan mendapat penyakit dan bergantung pada ubat untuk mengawalnya, sama seperti penyakit diabetes atau darah tinggi.

Ujar beliau lagi, bagi mengenal pasti pesakit mengalami masalah tiroid antaranya, tahap hormon perangsang tiroid (TSH) dalam sampel darah akan diukur.

Tahap TSH yang tinggi menunjukkan kegagalan kelenjar tiroid. TSH yang rendah pula menunjukkan pesakit mempunyai tiroid yang terlalu aktif yang menyebabkan penghasilan hormon tiroid terlalu banyak.

Kadang-kadang boleh berlaku TSH yang rendah mungkin disebabkan oleh kelainan pada kelenjar pituitari yang menghalang daripada membuat TSH yang cukup untuk merangsang tiroid.

Dalam kebanyakan individu yang sihat, nilai TSH yang normal bermakna tiroid berfungsi normal.-NAIMAH MUHAMMAD.

ANEKDOT

MENGENAI tiroid

Tanda-tanda pesakit mengalami hipotiroidisme atau hipertiroidisme:

- Bengkak pada leher

- Hilang selera makan

- Mudah letih

- Sembelit

- Perubahan berat badan

- Mengantuk

- Insomnia (sukar tidur)

- Lemah otot sendi

- Kemurungan

- Kulit menjadi kasar dan kering.

Nutrien yang diperlukan oleh pesakit tiroid:

1. Iodin

Mineral penting untuk menghasilkan hormon tiroid. Kekurangan iodin berisiko untuk menghidap hipotiroidisme. Justeru, pesakit perlu makan lebih banyak makanan kaya iodin seperti rumpai laut, ikan, tenusu dan telur.

2. Selenium

Minyak yang mempunyai manfaat antioksidan membantu tubuh mengaktifkan hormon tiroid dan melindungi kelenjar tiroid daripada kerosakan. Makanan yang kaya selenium iaitu tuna, sardin, telur dan kekacang.

3. Zink

Seperti selenium zink membantu tubuh mengaktifkan hormon tiroid. Kajian menunjukkan zink boleh membantu badan mengawal TSH.

Pesakit hipotiroidisme harus mengambil lebih banyak makanan kaya zink seperti tiram, kerang, daging dan ayam.

Selain itu, terdapat beberapa nutrien yang boleh memudaratkan pesakit yang mengalami hipotiroidisme seperti goitrogen (soya, tauhu, tempe, kubis, brokoli, bayam, kentang, ubi kayu, kacang) dan gluten (protein yang terdapat dalam bijirin seperti gandum, barli).

Pesakit juga harus mengelakkan makan makanan yang diproses, kerana mengandungi lebih banyak kalori.

Pun begitu, pastikan pengambilnya atas nasihat doktor bagi mengelak sebarang kemungkinan kepada pesakit.

Sumber: https://www.healthline.com