Sikap tidak mengalah Kedah membuahkan hasil: Aidil

Mohd Alif Mohd Yusof (tengah) menjaringkan gol kemenangan Kedah pada minit ke-90. - Foto ihsan MOHAMAD ASYRAAF
Mohd Alif Mohd Yusof (tengah) menjaringkan gol kemenangan Kedah pada minit ke-90. - Foto ihsan MOHAMAD ASYRAAF
A
A
A

SIKAP tidak putus asa menjadi kunci utama Kedah bangkit sebanyak dua kali untuk mengatasi PKNS FC 3-2 pada aksi keempat Kumpulan A Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Aman malam tadi.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau memuji kesungguhan anak buahnya untuk memecah kebuntuan selepas diberi saingan sengit oleh Red Ants namun tidak menghalang mereka untuk mengutip tiga mata penting.

Menurutnya, kepulangan sementaranya ke Alor Setar untuk bersama pemain-pemainnya disifatkan sebagai berbaloi berikutan beliau masih lagi menjalani fasa ketiga kursus Pro-Diploma Lesen Kejurulatihan Kelas A di Kuala Lumpur.

"Kita gagal mendapatkan mata penuh sebelum ini beraksi di laman PKNS FC namun pada malam ini, kita terus tidak berputus asa walaupun dua kali ketinggalan di laman sendiri.

"Di bilik persalinan semasa rehat, kita beritahu bahawa ini adalah Darul Aman, kita tidak mahu kalah lagi seperti kalah kepada Terengganu FC sebelum ini walaupun Kedah yang mengawal perlawanan. Pada separuh masa kedua, pemain berjaya menunjukkan aksi terbaik dan tidak mengecewakan peminat Kedah," katanya.

Bagaimanapun jelas Aidil Sharin, peluang perebutan dua pasukan terbaik Kumpulan A masih lagi terbuka walaupun Kedah sudah menjarakkan kepada tujuh mata untuk berada di tangga kedua manakala PKNS FC kekal dengan empat mata dan berada di tangga ketiga kumpulan.

TFC pula yang merupakan pendahulu Kumpulan A masih belum tewas telah mengumpul sembilan mata akan berdepan Negeri Sembilan pada Jumaat ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Sementara itu, pengendali PKNS FC, Datuk K Rajagopal berkata, sepatutnya kelabnya itu keluar sebagai pemenang selepas berjaya mendahului perlawanan sebanyak dua kali namun disebabkan oleh kesilapan sendiri menyaksikan mereka terpaksa berputih mata.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, secara keseluruhan pemain-pemain menunjukkan corak permainan yang baik sebelum masalah kecederaan dan pertukaran pemain menganggu rentak permainan kelab tersebut.

"Selepas PKNS FC kembali mendahului 2-1, saya tidak faham dengan para pemain saya yang bersungguh-sungguh mahu mendapatkan gol ketiga kerana kita bermain di tempat lawan. Memang boleh sebenarnya hanya dengan menunggu peluang yang terbaik sahaja untuk menyerang balas dengan pantas.

"Saya tahu selepas Kedah mendapatkan gol penyamaan mereka akan terus bangkit dan kita cuba untuk beraksi secara bertahan namun ia tetap membawa padah kepada PKNS FC pada minit-minit akhir perlawanan," katanya.