Pembantu ADUN Balakong buat laporan terima surat ugutan

No Image Caption
A
A
A

KAJANG - Pembantu politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong membuat laporan polis selepas menerima sepucuk surat berbaur ugutan jenayah yang difahamkan berkaitan dengan kempen bantah tulisan jawi.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, laporan dibuat mangsa berusia 42 tahun pada jam 5.15 petang semalam.

Menurutnya, surat berbaur ugutan jenayah itu diposkan ke rumahnya di Kajang oleh seorang individu yang tidak dikenal pasti.

"Kandungan surat tersebut berbaur ugutan selain terdapat sebilah senjata tajam di dalam sampul tersebut.

"Kejadian ugutan itu kali pertama berlaku terhadap mangsa dan kes ini diklasifikasi di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Dzaffir berkata, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya di balai polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Md Fahrul Afifi di talian telefon 014-3700870.

Katanya, selain itu, pihaknya juga menyeru agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengganggu perjalanan siasatan pihak polis dalam kes ini.

"Pihak Polis juga mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat kenyataan yang boleh mengembangkan suasana tidak harmoni, pepecahan, pemusuhan dengan niat jahat," katanya.

Artikel Berkaitan: