Upah tangkap ketam dengan syabu

Zaki berharap Nor tidak berputus asa membantu Atan untuk keluar daripada masalah dihadapinya hari ini.
Zaki berharap Nor tidak berputus asa membantu Atan untuk keluar daripada masalah dihadapinya hari ini.
A
A
A

KUALA KEDAH - Seorang remaja berusia 13 tahun diberikan upah dadah jenis syabu selepas membantu menangkap ketam oleh seorang penjual ketam di sebuah kampung dekat sini.

Remaja tersebut yang dikenali sebagai Atan dan tidak bersekolah, telah dipergunakan setahun lalu oleh penjual ketam itu yang dikenali sebagai Botak, 25.

Ibunya, Nor, 41, berkata, dia mula risau apabila melihat perubahan anak lelaki tunggalnya itu selepas berkawan dan bergaul dengan Botak.

"Saya telah minta bantuan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MPCF) Daerah Kota Setar untuk bantu anak saya ini untuk keluar dari permasalahan dihadapinya sekarang.

"Saya mahu lihat dia kembali bersekolah. Dia baru tamat belajar di sekolah tahfiz pada pertengahan tahun lalu di sebuah daerah selepas ditukarkan dari sebuah sekolah tahfiz lain kerana masalah dibuli," katanya yang merupakan ibu tunggal.

Jelas Nor, Atan mula belajar di sekolah rendah di sekitar kampung tersebut pada usia 7 hingga 9 tahun, namun disebabkan masalah pembelajaran dihadapinya, dia hilang minat untuk belajar dan minta dihantarkan ke sekolah tahfiz.

Atan (tengah) disyaki positif dadah jenis syabu semasa saringan yang dibuat di rumahnya di Kuala Kedah hari ini.
Atan (tengah) disyaki positif dadah jenis syabu semasa saringan yang dibuat di rumahnya di Kuala Kedah hari ini.

Sementara itu, Ketua Unit Pencegahan AADK Daerah Kota Setar dan Pokok Sena, Suria Azlina Shaarin berkata, hasil saringan air kencing dilakukan terhadap Atan di rumahnya mendapati remaja itu positif dadah jenis syabu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Atan telah dipengaruhi Botak yang juga penagih dadah dan Orang Kena Pengawasan (OKP) di bawah AADK Daerah Kota Setar dan Pokok Sena kerana tidak hadir melaporkan diri.

"Kita akan bincang dengan ibu Atan apa tindakan selanjutnya yang akan diambil, selain merujuk kes ini kepada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Daerah Kota Setar sebab berada di bawah umur," katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Suria Azlina, AADK Daerah Kota Setar dan Pokok Sena serius menggempur aktiviti dadah di peringkat akar umbi terutama di Kuala Kedah selepas kawasan itu berada di bawah projek rintis AADK dalam menangani masalah penagihan dadah dan pelancongan sosial di 12 kawasan melibatkan tujuh negeri.

Dalam pada itu, Pengerusi MPCF Daerah Kota Setar, Dr Zaki Zamani berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama seluruh lapisan masyarakat untuk membasmi gejala dadah di daerah ini.

"Kami harap lebih ramai ibu bapa tampil untuk beri kerjasama jika melihat anak-anak sudah mula ponteng sekolah ataupun nampak curiga. Boleh maklumkan kepada MPCF ataupun pihak berkuasa untuk kami ambil tindakan," katanya.