Raih RM5,000 sebulan jual makanan ringan

Antara makanan ringan yang dihasilkan Maimunah.
Antara makanan ringan yang dihasilkan Maimunah.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang usahawan wanita di Pulau Rusa, Manir dekat sini, mampu meraih pendapatan melebihi RM5,000 sebulan hasil perniagaan pelbagai jenis produk makanan ringan termasuk kuih jala emas yang diusahakannya sejak 30 tahun lalu.

Maimunah Yusof, 65, berkata, selain dipasarkan dalam negara, produknya juga sudah memasuki pasaran luar negara termasuk Jepun.

Maimunah yang menghasilkan pelbagai jenis kerepek, buah rotan, jala emas dan kuih tradisional lain turut aktif menyertai ekspo anjuran pihak kerajaan yang diadakan di dalam mahu pun luar negeri ini.

"Saya kerap menyertai ekspo-ekspo yang dianjurkan oleh pelbagai pihak dan bermula dari sini jugalah perniagaan semakin berkembang malah pendapatan pun meningkat dari biasa hasil kepelbagaian produk.

"Kejayaan juga adalah hasil bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian," katanya yang menetap di Pulau Rusa, Manir.

Maimunah turut menerima bantuan pelekat produk dari Mara, bantuan pelabelan dari YPU dan peruntukan kewangan membina bengkel serta bantuan peralatan dari Jabatan Pertanian dan bantuan mesin dari FAMA.

Siapa sangka dengan berbekalkan kegigihannya, warga emas dibantu ahli keluarganya itu kini boleh berbangga apabila memiliki produk sendiri jenama Mysisme yang mendapat sambutan luar biasa.

Artikel Berkaitan: