Setahun derita penyakit 'misteri'

Fahaizal menunjukkan peralatan perubatan yang disumbangkan oleh orang ramai tanda prihatin dengan keadaan menimpa anaknya.
Fahaizal menunjukkan peralatan perubatan yang disumbangkan oleh orang ramai tanda prihatin dengan keadaan menimpa anaknya.
A
A
A

SEMENYIH - "Saya harap ada keajaiban penyakit pulih dan mampu menyambung pengajian ke peringkat ijazah," kata Graduan Diploma Sains Komputer Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Nurul Sharmine Sofia Fahaizal Zee, 21, yang diserang penyakit misteri sejak setahun lalu.

Bermula dengan hanya hilang deria sentuh pada tapak kaki, kini anak kedua daripada enam beradik itu lumpuh anggota badan dan tidak mampu menguruskan diri.

Sehingga kini doktor yang merawatnya belum mengetahui punca penyakit itu malah tiada sebarang ubat dibekalkan bagi mengurangkan kesan penyakit yang merebak pantas ke seluruh anggota badan.

Nurul Sharmine Sofia akui berat dugaan yang dihadapinya namun terpaksa reda dengan situasi dihadapi demi keluarga.

"Jauh di sudut hati saya mahu sambung pengajian lagi kemudian bekerja dan membantu ibu bapa menanggung adik-adik lain yang masih bersekolah.

"Tapi saya terpaksa akur untuk berehat sehingga ada ubat yang boleh memulihkan penyakit yang belum diketahui ini," katanya yang ditemui di rumah keluarganya di Taman Semenyih Ria di sini hari ini.

Nurul Sharmine Sofia ditemani bapa di rumahnya di Taman Semenyih Ria hari ini.
Nurul Sharmine Sofia ditemani bapa di rumahnya di Taman Semenyih Ria hari ini.

Pemegang kad orang kurang upaya ini bersyukur dengan sokongan keluarga yang menjadi sumber kekuatannya.

Artikel Berkaitan:

"Doktor terkejut saya masih mampu bertahan tanpa sebarang ubat, tak ada sebab lain kekuatan itu datangnya dari keluarga saya.

"Saya tak boleh putus asa, saya tak boleh tengok mereka sedih disebabkan keadaan saya," katanya.

Sementara itu bapanya, Fahaizal Zee Mohd Jaapar, 47, berkata, dia bercadang merujuk kes anaknya itu dengan pakar neuromuscular dari United Kingdom atau Australia selepas khuatir keadaan kesihatan anaknya yang semakin merosot saban hari.

"Pihak hospital awam masih belum dapat mengenal pasti penyakit anak saya walaupun telah beberapa kali sampel darah diambil.

"Dia pernah ditahan wad selama empat bulan sebelum ini selain koma sebanyak dua kali dalam tempoh sebulan baru-baru ini. Saya tak boleh tunggu lebih lama lagi," katanya.

Namun katanya, mereka berdepan kekangan kewangan terutama selepas dia terpaksa berhenti kerja disebabkan masalah kesihatan tulang belakang dan vertigo dihidapi.

"Saya bergantung kepada faedah Perkeso sebanyak RM1,649 sebulan selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (RM350) dan Lembaga Zakat Selangor yang membekalkan lampin pakai buang serta susu untuk kegunaan Nurul Sharmine Sofia. Saya turut kerja sambilan dengan menjual pakaian.

"Walaupun nampak banyak tapi selepas ditambah tolak dengan perbelanjaan harian, persekolahan, komitmen lain serta kos ulang-alik hospital bakinya tinggal RM200 yang digunakan jika berlakunya kecemasan," katanya.

Katanya, dia berharap penyakit anaknya dikenalpasti segera agar mereka sekeluarga boleh berikhtiar dan memikirkan langkah seterusnya.

Orang awam yang ingin membantu bagi meringankan beban keluarga boleh menyumbang di akaun Maybank milik Fahaizal Zee Mohd Jaapar (162414104215)