Kibarkan Jalur Gemilang semarakkan sambutan Hari Kebangsaan

Jajaran Jalur Gemilang dipasang di sekitar perkarangan Kompleks Mahkamah Melaka bagi menyemarakkan lagi suasana sempena Bulan Kibar Jalur Gemilang bagi menyambut Hari Kebangsaan Ke-62 pada 31 Ogos ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Amalan murni seperti mengibarkan Jalur Gemilang antara contoh terbaik dalam menghayati semangat kemerdekaan yang perlu dihayati dan dipupuk rakyat sempena kedatangan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak lama lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P Waytha Moorthy.

Beliau berkata contoh itu dapat memastikan keharmonian dan perpaduan negara terjamin supaya masyarakat majmuk Malaysia kekal menjadi model negara contoh dalam aspek pengurusan perpaduan kaum kepada dunia.

“Selaras dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”, saya menyeru agar kita semua memikul tanggungjawab memperkukuhkan lagi semangat jati diri sebagai rakyat yang cintakan keharmonian.

“Semangat cintakan negara perlulah mendahului semua agenda lain apatah lagi yang boleh memecahbelahkan masyarakat di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, perpaduan di negara ini adalah unik dan dinamik sekaligus membolehkan rakyat daripada pelbagai kaum dan etnik dapat hidup dalam suasana aman damai berteraskan kepada persefahaman, penghayatan kepada Perlembagaan Persekutuan serta menjadikan Rukun Negara sebagai teras budaya dan gaya hidup.

Tegasnya, kehadiran isu-isu terpencil setelah 62 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan adalah perkara biasa bagi sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dan oleh itu, elemen perpaduan perlu diteruskan dan dilakukan dengan usaha kolektif dan secara terancang. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia