Peniaga akur larangan menjaja di simpang lampu isyarat

Mohd Nurkhuzaini (tengah) ketika memberi penerangan mengenai larangan berniaga di lampu isyarat.
Mohd Nurkhuzaini (tengah) ketika memberi penerangan mengenai larangan berniaga di lampu isyarat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Penjaja jalanan di persimpangan lampu isyarat akur dengan arahan kerajaan negeri supaya menghentikan operasi perniagaan itu sejajar dengan Akta Peraturan Lalu Lintas 1959 yang melarang peniaga berniaga di atas, tepi dan bahu jalan.

Pengusaha produk makanan jenama Brehimakang, Fahmi Redza A Razak, 38, berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama dan akan berusaha mencari alternatif lain bagi meneruskan perniagaan itu.

“Pengusaha-pengusaha makanan di persimpangan lampu isyarat akur dengan arahan kerajaan negeri yang meminta supaya perniagaan ini dihentikan.

“Jadi kami akan mencari kaedah lain dalam memasarkan produk kami seperti kaedah penghantaran menggunakan khidmat runner, cash on delivery (COD) dan sebagainya asalkan ia medium yang ‘halal’ untuk memasarkan produk kami.

“Walaupun kaedah jualan di persimpangan lampu isyarat memberikan pulangan yang memberangsangkan, kami terpaksa akur dengan arahan kerana ia termaktub dalam undang-undang yang ditetapkan di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Fahmi Redza ditemui dalam perjumpaan bersama penjaja-penjaja di lampu isyarat di Dewan Konvensyen, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bersama Exco Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha, Mohd Hanafi Inet@Ghani, 32, berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi meneliti permasalahan dihadapi golongan penjaja itu dan berharap ia diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Artikel Berkaitan:

Sesi dialog ketika perjumpaan bersama penjaja-penjaja di lampu isyarat simpang jalan negeri Terengganu di Dewan Konvensyen, YPU bersama Mohd Nurkhuzaini hari ini.
Sesi dialog ketika perjumpaan bersama penjaja-penjaja di lampu isyarat simpang jalan negeri Terengganu di Dewan Konvensyen, YPU bersama Mohd Nurkhuzaini hari ini.

“Sebelum ini saya tak tahu ada larangan menjual di lampu isyarat sebab pada kita, kita tak langgar peraturan lalu lintas dan jualan hanya dibuat ketika lampu isyarat bertukar merah dan akan dihentikan sebaik lampu bertukar hijau.

“Hari ini saya dapat maklumat lebih jelas mengenai larangan diberikan. Jadi kita akur dan akan memberikan kerjasama,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Mohd Nurkhuzaini berkata, kerajaan negeri mengekalkan arahan larangan berniaga, namun bersetuju memberi tempoh kepada pengusaha untuk menghabiskan stok barangan yang dijual.

Menurutnya, tempoh masa yang akan diberikan akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa terdiri daripada Yayasan Pembangunan Usahawan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kita akan bermesyuarat dahulu untuk berbincang mengenai tempoh masa yang akan diberikan kepada peniaga untuk mereka menghabiskan stok barangan dan akan dimaklumkan kemudian. Dalam tempoh itu tiada tindakan akan dikenakan kepada mereka.

“Selepas itu, pihak jawatankuasa akan bertemu semula dengan pengusaha bagi perkembangan lanjut mengenai perkara ini dan ia dijangka diadakan selepas sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

Dianggarkan seramai 12 pengusaha yang terlibat menjalankan perniagaan di persimpangan lampu isyarat di negeri ini dengan mengupah lebih 100 pekerja untuk membantu melancarkan urus niaga.
Dianggarkan seramai 12 pengusaha yang terlibat menjalankan perniagaan di persimpangan lampu isyarat di negeri ini dengan mengupah lebih 100 pekerja untuk membantu melancarkan urus niaga.

Dianggarkan seramai 12 pengusaha yang terlibat menjalankan perniagaan di persimpangan lampu isyarat di negeri ini dengan mengupah lebih 100 pekerja untuk membantu melancarkan urus niaga.

Antara barangan yang dijual ialah jeruk buah, buah asam boi, jus durian belanda, bebola daging dan jus mangga.

Terdahulu Nurkhuzaini berkata, sejak awal tahun ini sebanyak 40 kompaun telah dikeluarkan dan 205 balang jeruk telah dirampas daripada penjaja di persimpangan jalan kerana kesalahan menjaja tanpa lesen dan isu kebersihan.

Jelasnya, aktiviti itu juga bersalahan dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja yang tidak membenarkan sebarang aktiviti jualan dan pembelian di persimpangan jalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga jalanan 'hati kering'